SASTERA

Pemburu Misteri

Oleh Regina Ibrahim

Sunyi sepi, yang kedengaran hanyalah sahut-sahutan cengkerik dan unggas malam. Sayu, adakalanya pilu. Maka benarlah bahawasanya memori lalu mampu menghantui dan menyekat gerak rasa manusia.

“Silap kita jugalah abang, telefon tak ada, komputer tak reti pakai, posmen pun sudah lama tidak pernah hantar surat,” jawab Mak Jah apabila Pak Manap merungut tentang anak-anak yang tidak pulang.

Teh O panas dalam cawan pyrex jernih dihirup rakus. Sempat pula dia bermimik muka tanda sedap pada isterinya. Dia memang begitu sejak dahulu, tidak lokek memuji isterinya. Jodoh yang diuruskan keluarga baginya adalah kesyukuran. Halijah selama ini dilihatnya sebagai hadiah daripada Tuhan. Isteri yang sanggup bersusah senang, membesarkan empat orang anak yang tumbuh menjadi manusia sempurna, tiga perempuan dan yang bongsu lelaki. Kenapa pula dia harus lokek memuji? Perempuan itu memang menyenangkan, Halijah peneman dan semakin zaman berlalu dia akan selalu ada. Sakit demam tidak perlu ke hospital, isterinyalah doktor, isterinyalah juga jururawat. Terpancar sejenis rasa bahagia lega bila bersama perempuan ini sedangkan kenalan lain seribu satu kisah aib rumah tangga mereka terburai.

Perempuan-perempuan yang baik, setelah menikah jadilah mereka pendamping suami, mula membina keluarga, taat pada kehidupan baharu, harungilah bersama. Atas dasar itu, mereka tidak terkilan apabila tiga anak perempuan selamat berkahwin seadanya.

Sesekali Pak Manap tersenyum puas, terkenang Halijah pernah menangis kenikmatan ketika si bongsu perempuan selesai berakad. Hatinya mungkin sebu sekaligus bahagia kerana mampu melangsaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Pernah, pada satu tahap dia meminta agar janganlah terlalu cepat mereka dewasa; agaknya begitulah perasaan ibu burung melihat satu demi satu anaknya tumbuh bulu pelepah tidak lagi berkicau lapar dan lama-lama bertempiaran terbang dan hilang entah ke dunia mana.

Hanya Rahman sahaja membawa masalah. Anak bongsu, lelakilah pula…

Terakhir pulang melawat sudah mula bertanya tentang geran tanah, memberi saranan itu dan ini agar Pak Manap dan Mak Jah ikut tinggal di Kuala Lumpur.

Apa yang tidak kena dengan budak ini?

Paling tidak rancanglah untuk pulang, bina dan baik pulih rumah kelahiran, bahagialah juga perasaan ibu bapa dimamah usia. Apa yang tidak selesai hingga sanggup merancang sedemikian? Katanya rugi tanah kalau dibiarkan, kalau dijual boleh buat modal meniaga. Meniaga? Punyalah penting diri anak-anak zaman ini, berfikiran singkat. Apa mereka fikir orang tua tidak berhak ada kenangan? Tidak terlintaskah di hati bagaimana sukarnya meneroka tanah pusaka sekangkang kera yang dahulunya hanyalah belukar.

“Sudah sudahlah abang, semua sudah besar panjang, ada famili sendiri, kita tunggulah kepulangan mereka…,” Mak Jah menyedapkan hati suaminya.

“Tunggu apa Jah? Raya tak balik, Raya Haji tak nampak muka… ulang tahun kita jangan haraplah, entah ingat entah lupa?” Pak Manap nyatanya masih terbuku ralat dan kesal.

Mak Jah jadi mati kata, saban hari hanyalah doa agar sejahtera mereka pada usia emas. Bertambah sedar bahawa dia hidup terlalu lama dengan penafian, sentiasa mencari alasan konkrit memaafkan anak-anaknya dengan pelbagai alasan rekaan. Sibuk mengalahkan menteri sedangkan jalan masuk ke kampung sudah selesa, wajah mereka tidak kunjung jelma, pulang pula berkonflik dengan ayah sendiri kerana mahukan harta. Perang mulut sialan itulah yang paling dibenci untuk dikenang.

“Abang nak teh lagi? Air panas ada…,”

Pak Manap mengangguk, matanya bertumpu pada buku tebal bertulisan jawi. Tidak pernah bosan, lunyai ditelaah buku hikayat yang tebal sejak dulu. Isterinya bingkas menghala ke dapur namun, langkah jadi terhenti.

Bunyi bising di luar rumah membuatkan Mak Jah kaget, dikuaknya kuat daun pintu dapur. Hatinya merungut akan gangguan pada malam sunyi. Semakin nakal budak-budak kampung yang tidak berhati perut, generasi apa agaknya yang sudah dihasilkan berseli waktu yang berlalu?

Kelihatan enam hingga tujuh orang anak muda lengkap dengan kamera dan lampu suluh terang, yang paling hadapan berdiri bagaikan kepala kumpulan, menjengkelkan dengan rambut berkarat, tanpa salam mula bercakap pada lensa kamera.

Perempuan apa tanpa adab, beraninya hingga begitu?

“Penonton, pintu terbuka dengan sendiri, kalau anda masih ingat kejadian sepuluh tahun lalu apabila sepasang warga emas dijumpai mati setelah empat puluh hari, penemuan rangka dalam rumah usang ini oleh anak mereka yang pulang bercuti. Suasana sunyi dan salakan anjing… kamu boleh dengar, kan? Saksikan seterusnya dalam Pemburu Misteri…”

Cut!” jerit lelaki yang berada di sebelah jurukamera berlampu.

Mereka mula masuk ke dalam rumah tanpa dijemput, Mak Jah terlopong. Memang kurang ajar anak-anak zaman ini.

Pak Manap yang berada di sudut rumah, tanpa kata melambai-lambai, jari diletakkan di tengah bibir meminta Mak Jah diam; Mak Jah pula tergesa gesa berlari anak menyertai Pak Manap hingga terlanggar kotak di tepi almari. Giliran kumpulan anak-anak muda kaget, pantas merakam, penuh tenang si perempuan rambut berkarat menggulas kejadian.

“Kotak jatuh tanpa ditolak sesiapa, merinding sebenarnya penonton, kita sudah berada di bahagian…  dapur,”

Pak Manap dan Mak Jah berpelukan. Mak Jah berdebar. Debarannya sama seperti zaman darurat dahulu, sewaktu perintah berkurung dan zaman komunis menggila pada lewat tahun 60-an

“Jangan risau sayang, mereka tidak nampak kita,” separa berbisik Pak Manap membelai kepala Mak Jah, kali ini wajah isterinya tampak muda seperti waktu mereka baru berkahwin.


Pengarang :