PENDIDIKANSELANGOR

Pencapaian akademik dan kokurikulum Selangor terus meningkat

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 4 OGOS: Pencapaian akademik di Selangor meningkat sejak 2015, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor (JPS), Mohd Salleh Mohd Kassim.

Katanya, pada 2017, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) meningkat sebanyak 3.8 peratus, manakala Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) naik kepada 79 peratus dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ialah 51 peratus.

“Selangor berada di pertengahan gelombang kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, malah kami amat berbangga kerana kerjasama erat antara Yayasan Selangor dan JPS dapat memacu kecemerlangan akademik pelajar di negeri ini.

“Selama ini, kita beranggapan penglibatan ibu-bapa dengan pembelajaran anak-anak berlaku secara semulajadi. Namun dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu yang dilakukan ini dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Perasmian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor di Menara Yayasan Selangor.

Hadir sama Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry.

Bukan saja akademik, bidang ko-kurikulum turut menjadi nombor satu di kalangan pelajar dan murid di Selangor.

Mohd Salleh berkata, hampir saban tahun negeri ini menjadi nombor satu dalam pelbagai acara.

“JPS juga tidak lupa selain kecemerlangan akademik, kita juga mahu menjana modal insan kelas pertama di kalangan pelajar dan murid-murid.

“Proses pendidikan juga tertumpu kepada proses cabaran globalisasi masa akan datang, dan semoga jalinan kerjasama ini dapat memberi peluang berkualiti ke atas anak-anak Selangor khususnya,” katanya.


Pengarang :