NASIONALWANITA & KEBAJIKAN

Pendaftaran i-Suri KWSP bermula hari ini

SHAH ALAM 15 OGOS: Pendaftaran bagi Caruman Sukarela Suri (i-Suri) boleh dilakukan berkuat kuasa hari ini (Rabu), kata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Operasi), Datuk Mohd.Naim Daruwish berkata, pembukaan pendaftaran i-Suri adalah susulan pelancaran insentif Suri Rumah oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail minggu lalu.

Menurutnya, individu yang menepati kelayakan dan membuat pendaftaran i-Suri akan menikmati manfaat seperti ahli KWSP lain termasuk dividen tahunan ke atas simpanan persaraan.

“Suri rumah, balu dan ibu tunggal yang profilnya didaftarkan di Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih) boleh menyertai i-Suri dengan membuat caruman minimum RM5 setiap bulan ke dalam akaun simpanan persaraan sekali gus melayakkan mereka menerima insentif RM40 setiap bulan,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Mengikut statistik e-Kasih, seramai 221,890 suri rumah, 98,536 balu dan 28,116 ibu tunggal layak menerima insentif itu dengan mendaftar i-Suri.


Pengarang :