SELANGOR

Penduduk DUN Seri Setia nikmati lebih RM12 juta peruntukan IPR

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 17 OGOS: Lebih RM12.38 juta diperuntukkan kepada sejumlah 17,373 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menerusi program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sehingga 15 Ogos tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peruntukan itu adalah dalam tempoh 10 tahun pelaksanaan pelbagai bentuk bantuan IPR kecuali program Air Percuma dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

“IPR ini adalah model yang menjadi contoh dan ikutan kerana keberkesanannya yang luar biasa.

“Bermula di Selangor, program ini Kerajaan Negeri rangka berasaskan prinsip ‘Fastabiqul Khairat’ ataupun berlumba lumba melakukan kebaikan.

“Inisiatif Kerajaan Negeri ini memberi manfaat kepada semua golongan masyarakat termasuk pelajar, ibu tunggal, orang kelainan upaya, peniaga kecil dan golongan miskin dari segi pelbagai dimensi termasuk taraf hidup, kesihatan dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Menyantuni dan Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat, di Masjid Al- Islamiah Kampung Lindungan, di sini.

Sementara itu, dalam program terbabit, Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Pemerbadanan (MBI Selangor) menyerahkan sumbangan kepada tujuh masjid dan enam surau di dalam kawasan DUN berkenaan berjumlah RM200,000.

Manakala, sebanyak 10 buah KAFA akan menerima sumbangan dari MBI berjumlah RM100,000 secara keseluruhan.

Sebanyak 84 pasangan turut menerima RM500 menerusi bantuan Insentif Perkahwinan Belia.

Sebanyak tujuh ekor lembu juga diberikan kepada masjid dan surau serta persatuan penduduk sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Sumbangan ini sememangnya sudah diperuntukkan dan sepatutnya disampaikan oleh Ahli Dewan Negeri, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Baharuddin.

“Oleh itu, saya tidak mahu orang ramai kata ini adalah sumbangan sempena kempen pilihanraya kecil,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 3,915 kad peduli sihat dikeluarkan iaitu merangkumi seramai 15,660 penerima manfaat dengan perbelanjaan berjumlah RM416,486.08 bagi DUN Seri Setia.

Manakala, Kasih Ibu Smart Selangor pula adalah seramai 561 orang dengan peruntukan RM 1,346,000.

Bagi program HIJRAH pula, sejak 2015 adalah seramai 685 penerima dengan perbelanjaan berjumlah RM7 juta dan bagi tahun ini, seramai 34 penerima dengan kos perbelanjaan berjumlah RM511,000 bagi DUN itu.


Pengarang :