SELANGOR

Pengalaman Ahli Majlis MBPJ jadi ‘senjata’ Halimey tawan Seri Setia

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 18 OGOS: Pengalaman sebagai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mematangkan Halimey Abu Bakar.

Ia sekali gus menjadikannya sebagai ‘senjata’ bagi pertempuran merebut kerusi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia kali ini.

Halimey yang berusia 46 tahun itu berkhidmat sebagai Ahli Majlis MBPJ sejak 2008 lagi.

“Sebagai anak tempatan, pelbagai masalah sebelum ini turut ditangani dan ketika Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin masih ada, saya turut bekerjasama membantunya dalam beberapa isu,” katanya ketika ditemui media selepas pengumuman calon bagi PRK DUN Seri Setia di Dewan Sivik MBPJ, pagi tadi.

Beliau yang pernah memegang jawatan Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Kelana Jaya itu turut berpengalaman menyelesaikan isu penduduk di sekitar Petaling Jaya.

Antaranya, menyelesai dan memindahkan perniagaan pasar malam PJS 10 ke PJS 8 Mentari pada 2009, kemudiannya pada 2010 beliau turut membantu bagi mempercepatkan proses pembinaan Masjid Al- Islamiah PJS 6 Kampung Lindungan.

Terbaru, pada 2018, Halimey turut berjaya membina semula kiosk di PJS 8 untuk peniaga-peniaga kecil.

Halimey berkata, fokus utama beliau sekiranya memenangi DUN Seri Setia ialah memfokuskan isu perumahan kos rendah.

“Saya juga akan cuba melihat isu kemiskinan bandar, PAKATAN akan terus memikul tanggungjawab membantu masyarakat dengan bantuan rakan-rakan parti komponen,” katanya.


Pengarang :