SELANGOR

Pengerusi JKKK diharap komited jaya misi Kerajaan Negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kerajaan Negeri berharap semua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dilantik dapat memberi komitmen dan kerjasama menjayakan misi ditetapkan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, ia bersesuaian dengan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai penghubung antara Kerajaan Negeri dan rakyat.

“Pengerusi JKKK turut bertindak sebagai wakil kepada Kerajaan Negeri dalam menyampaikan maklumat dan perancangan yang akan dilaksanakan.

“Oleh itu, saya berharap semua dapat memberikan komitmen sepenuhnya dalam menjayakan perancangan digariskan Kerajaan Negeri dan pejabat daerah,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada Pengerusi JKKK, di sini, hari ini.

Seramai 77 Pengerusi JKKK menerima watikah pelantikan dengan 41 dari Kampung Baru, 19 Kampung Bagan dan 17 Kampung Tersusun, termasuk lapan daripadanya pengerusi wanita.

Beliau berkata, Pengerusi JKKK dilantik akan didedahkan dengan prosedur pentadbiran negeri melaui kursus dan bengkel secara berskala, termasuk kursus asas kepimpinan.

Katanya, ia bagi menjadikan mereka lebih berdaya saing dan mampu memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Dengan kursus diikuti, kita berharap Pengerusi JKKK akan menjadi pemimpin berilimu dan bermaklumat selaras dengan Selangor sebagai negeri maju serta peduli rakyat,” katanya.


Pengarang :