NASIONAL

Pengguna jalur lebar kemungkinan terima rebat susulan MSAP

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Pengguna yang melanggan pakej jalur lebar tetap daripada syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan berkemungkinan menerima rebat pembayaran, susulan penguatkuasaan Standard Mandatori bagi Harga Capaian (MSAP) yang berkuat kuasa 1 Jan lepas.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata ia sememangnya menjadi satu daripada pertimbangan perbincangan yang sedang dijalankan bagi menentukan harga siling borong bagi pihak pembekal kemudahan dan perkhidmatan yang digunakan syarikat-syarikat telekomunikasi dalam pasaran.

“Ia memang satu perkara yang dibangkitkan sama ada apa-apa pakej akan ‘back dated’ kepada 1 Jan, di mana kita dapat lihat yang telah membayar lebih sebelum ini akan diberi bayaran kembali.

“Saya ambil pendekatan bahawa ia harus di ‘back dated’ (undur tarikh) kerana itulah masa di mana harga standard dilaksanakan, pandangan peribadi saya adalah ia harus diundur tarikh,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkenaan rebat untuk mereka yang telah mendapatkan pakej dari awal tahun ini.

Mengulas lanjut, Gobind berkata beliau akan bertemu dengan syarikat-syarikat telekomunikasi untuk meneruskan perbincangan mengenai cadangan-cadangan pakej baharu jalur lebar, susulan penguatkuasaan MSAP berkenaan, minggu ini.

“Tarikh akhir untuk semua pakej cadangan itu pada 31 Julai, dua hari lepas. Kita masih dalam proses, ada banyak cadangan dah diberikan kepada saya, tetapi tak ada sebarang ketetapan dibuat lagi. Saya rasa sedikit masa lagi, mungkin dalam sebulan,” katanya.

Gobind sebelum ini menyasarkan harga jalur lebar tetap di Malaysia turun sekurang-kurangnya 25 peratus akhir tahun ini susulan pelaksanaan MSAP yang akan menyaksikan penurunan harga borong pembekal kemudahan, seterusnya harga pasaran kepada pengguna.

“Kesudahannya, usaha kita untuk turunkan harga, tingkat kelajuan dan pastikan kualiti yang ada ‘World Class’ standard, bergantung kepada kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi. Saya yakin dalam masa terdekat bahawa kita boleh selesai masalah itu dan boleh umumkan pakej-pakej (jalur lebar) itu,” tambahnya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :