BERITA UTAMASELANGOR

Penstrukturan industri air Selangor dimuktamad hari ini

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 3 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memaklumkan penstrukturan semula industri air Selangor akan dimuktamadkan hari ini selepas berlarutan hampir 10 tahun.

Kenyataan itu sekali gus menyanggah dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Kerajaan Negeri menyelesaikan isu air Selangor dengan kos tinggi, RM2.7 bilion dan membebankan rakyat.

“Esok (hari ini) kita akan cipta sejarah selepas 10 tahun tertunggak, setelah disabotaj Kerajaan Pusat (kerajaan dahulu).

“Kosnya berapa? Ya, kita hantar penilai bebas.

“Penilai semasa Najib di Putrajaya sebut angkanya daripada RM2.7 bilion hingga RM3.5 bilion sekarang. Penilai yang dilantik Kerajaan Negeri, angkanya RM2.6 bilion sampai RM2.9 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah rakyat yang berlangsung di Pusat Komersil, Bandar Puteri, Klang, semalam.

Pengumuman itu dilihat bakal memberikan impak positif kepada Negeri Selangor khususnya terhadap projek pembangunan yang sudah diluluskan sebelum ini.

Pada 5 Julai lalu, Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dalam satu sidang media selepas Program Lawatan Tapak, Loji Rawatan Air Langat 2 di Pejabat Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Hulu Langat mengesahkan Kabinet sudah meluluskan lanjutan 30 hari bagi penyelesaian pensktrukturan semula industri air Selangor.

Sebelum ini, Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) menerima tawaran Kerajaan Selangor mengambil alih semua ekuiti, aset dan liabiliti dua syarikat konsesi air miliknya iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), masing-masing berjumlah RM2.47 bilion dan RM3.11 bilion pada Mei 2014.

Ia disusuli pemegang saham Konsortium Abass Sdn Bhd yang bersetuju dengan tawaran pengambilalihan ekuiti, aset dan liabiliti air pada harga RM900 juta.

 


Pengarang :