GLOBAL

Pentagon: China luas operasi pesawat pengebom

WASHINGTON 17 OGOS: Tentera China telah meluaskan operasi pesawat pengebom milik mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini menerusi apa yang dilihat sebagai ‘latihan serangan’ terhadap Amerika Syarikat dan sekutunya.

Pentagon dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam berkata, penilaian itu didedahkan serentak dengan ketegangan memuncak AS-China berhubung aspek perdagangan dan ia terkandung dalam laporan tahunan yang memberi tumpuan kepada usaha China meningkatkan pengaruh mereka di peringkat global, mencakupi pertambahan perbelanjaan pertahanan, dianggarkan berjumlah AS$190 bilion (RM773 bilion).

“Sejak tiga tahun lalu, Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) telah meluaskan kawasan operasi pesawat pengebom laut sekali gus menambah pengalaman tempur di kawasan penting maritim dan dipercayai berlatih untuk menyerang AS dan sekutu mereka,” kata laporan berkenaan.

Laporan itu dikeluarkan sebelum rundingan perdagangan antara kedua negara dan diharapkan mampu membantu mereka menyelesaikan konflik yang semakin memuncak, sekali gus mewujudkan ancaman terhadap kemungkinan berlakunya perang perdagangan.

Menurut laporan itu lagi, walaupun PLA terus meluaskan operasi, namun tidak dapat dipastikan apa mesej yang hendak disampaikan oleh Beijing menerusi pelaksanaan semua operasi pesawat terbabit.

Kedutaan China di Washington tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung perkara itu.

Pada tahun ini, pasukan tentera udara China mendaratkan pesawat pengebom milik mereka di beberapa kepulauan dan kawasan terumbu di Laut China Selatan, sebagai sebahagian daripada latihan di zon konflik itu.

SUMBER: REUTERS

 


Pengarang :