GLOBAL

Pentagon larang tentera guna perisian geolokasi

WASHINGTON 7 OGOS: Pentagon bertindak melarang kakitangan yang dihantar bertugas ke lokasi tertentu daripada menggunakan paparan geolokasi di telefon pintar, pengesan kecergasan dan peranti lain kerana ia mungkin menyebabkan risiko keselamatan dengan mendedahkan lokasi mereka.

Keputusan itu diambil berikutan kebimbangan dibangkitkan Januari lalu apabila seorang penyelidik Australia menganalisis data dihantar Strava, aplikasi pengesan kecergasan terhadap aktiviti penggunanya, mendedahkan lokasi tentera AS di Syria dan Iraq.

Pentagon mendedahkan secara terbuka satu memorandum dikeluarkan Jumaat lalu yang berkata, keupayaan geolokasi itu memberi satu ‘risiko ketara.’

“Keupayaan geolokasi ini boleh mendedahkan maklumat peribadi, lokasi, rutin dan jumlah kakitangan jabatan serta berpotensi mencetuskan kesan keselamatan tidak dijangka selain meningkatkan risiko kepada pasukan bersama dan misi,” katanya.

Memorandum itu berkata, kakitangan Jabatan Pertahanan dilarang meggunakan ‘paparan geolokasi dan fungsi dalam peranti dikeluarkan kerajaan dan bukan kerajaan, aplikasi dan perkhidmatan ketika berada di lokasi dianggap sebagai kawasan operasi.’

Katanya, larangan itu berkuat kuasa serta merta.

Strava menghantar peta haba menunjukkan pergerakan pengguna bersenam sambil menggunakan peranti pengesan kecergasan dan secara terbuka berkongsi masa dan lokasi senaman itu menerusi aplikasinya.

Gambaran pos luar AS di Syria dan Iraq dapat dilihat dalam peta itu kerana ramai kakitangan tenteranya menggunakan peranti pengesan kecergesan, walaupun hanya segelintir penduduk tempatan menggunakannya, menurut laporan media.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :