EKONOMINASIONAL

Perang perdagangan AS-China boleh untungkan Malaysia

LANGKAWI, 4 OGOS: Malaysia berkemungkinan memperoleh manfaat daripada peperangan perdagangan di antara China dan Amerika Syarikat (AS) dari segi menarik pelaburan asing, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata dasar-dasar yang dilaksanakan dalam peperangan perdagangan ini akan menyebabkan pelabur-pelabur tidak dapat melabur di negara-negara tertentu, sekaligus menguntungkan negara-negara yang tidak terlibat.

“Kita (Malaysia) tak terlibat (dalam peperangan perdagangan ini) dan ada kemungkinan mereka (pelabur) yang tak dapat pergi ke negara tertentu, mereka akan datang ke sini (Malaysia),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Perang perdagangan di antara dua negara besar ini memuncak pada Rabu lepas apabila pentadbiran Amerika Syarikat meningkatkan tekanan ke atas China untuk konsesi perdagangan dengan mencadangkan tarif 25 peratus lebih tinggi terhadap import China bernilai AS$200 bilion.

Ditanya sama ada Malaysia sudah bersedia untuk menghadapi limpahan kemasukan pelaburan asing susulan peperangan perdagangan ini, Dr Mahathir berkata: “Kita bersedia sepanjang masa. (Bagi) Perdagangan asing, kita sentiasa bersedia.”

Dalam sidang media sama, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) meminta penyokong-penyokong PH agar tidak mengambil mudah tentang pilihan raya (PRK) yang akan berlangsung di Selangor biarpun sudah menang selesa dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

“Kalau dia (penyokong-penyokong PH) buat macam itu (mengambil mudah tentang PRK), ada kemungkinan Pakatan Harapan akan kalah. Sebab itu kita minta supaya pengundi keluar beramai-ramai untuk mengundi,” katanya.

Mengulas keputusan Barisan Nasional memberi laluan kepada PAS untuk bertanding dalam PRK Dewan Undangan Negeri Seri Setia di Selangor, beliau berkata ia membuktikan pakatan yang sudah berlaku di antara kedua-dua parti pembangkang ini.

“Kita memang tahu mereka bukan parti berasingan. Di depan kita diasingkan tapi sebenarnya mereka satu parti,” katanya.

Sebelum itu, Dr Mahathir yang juga Anggota Parlimen Langkawi merasmikan Langkawi Nature Park, sebuah taman alam semulajadi di sini yang mempamerkan lebih 80 spesies haiwan dari dalam dan luar negara.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :