GLOBAL

Perdana Menteri Itali umum perintah darurat setahun

GENOA 16 OGOS: Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte mengisytiharkan darurat selama 12 bulan di sini, hari ini susulan insiden jejambat runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 39 orang.

“Dalam satu mesyuarat kabinet yang diadakan, kami sudah bersetuju mengisytiharkan darurat selama 12 bulan dan menyediakan peruntukan bernilai lima juta euro (RM23.4juta) untuk tabung kecemasan kebangsaan,”kata Conte ketika sidang media di bandar pelabuhan barat selepas mesyuarat yang berlangsung kira-kira sejam.

Conte juga mengesahkan hasrat kerajaan untuk membatalkan kontrak dari firma sektor swasta Autostrade per l’Italia, yang bertanggungjawab mengendalikan dan menyelenggara jambatan dan lebuh raya bertol A10.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Itali, Danilo Toninelli dan Timbalan Perdana Menteri, Luigi Di Maio dan Matteo Salvini mengumumkan langkah itu hari ini.

Kementerian Pengangkutan itu mengesahkan kepada AFP bahawa kontrak A10 adalah satu-satunya lebuh raya sedang dilihat ketika ini.

“Tragedi ini tidak dapat diterima dalam masyarakat moden dan kerajaan akan melakukan segala-galanya untuk mencegah perkara ini daripada berlaku.

“Kami sudah mengumumkan bahawa kami akan memulakan proses membatalkan konsesi Autostrade,” kata Conte.

SUMBER: AFP


Pengarang :