NASIONAL

PERKESO serah bayaran Faedah Pengurusan Jenazah waris Allahyarhamah Siti Nur Ies’Mawida Ismail

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan bayaran Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM2,000 kepada suami Allahyarhamah Siti Nur Ies’Mawida Ismail, Mohd Hafiz Mohd Kassim yang meninggal dunia dalam kejadian gempa bumi ketika mendaki Gunung Rinjani, Lombok.

Menurutnya, majlis itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia supaya mengetahui hak mereka sebagai pekerja melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

“Allahyarhamah memenuhi syarat dan kelayakan Skim Keilatan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi melayakkan warisnya, iaitu suami beliau sebagai penerima Pencen Penakat untuk sepanjang hayatnya dan juga bayaran Faedah Pengurusan Jenazah.

“Setiap majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja bertanggungjawab memastikan perusahaan mereka didaftar dan pekerja dicarumkan,” katanya.

 

Wan Azizah berkata, terdapat 740,000 majikan berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tetapi hanya 435,000 majikan aktif dengan PERKESO.

Majlis penyerahan dilakukan di pejabatnya, aras 3 Bangunan Parlimen sambil disaksikan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Azman Aziz Mohamad.

Menerusi Pencen Penakat, Mohd Hafiz akan menerima RM863 setiap bulan sepanjang hayatnya.

Beliau yang ditemui pada sidang media mengucapkan terima kasih atas keprihatinan semua pihak dan memaklumkan sumbangan ini akan dimanfaatkan keluarga Allahyarhamah.

 

Mohd Hafiz yang mendirikan rumah tangga bersama Siti Nur Ies’Mawida Ismail pada Jun 2013 berkata, beliau tidak menemani Allahyarhamah isterinya ke Lombok kerana ada urusan kerja namun sempat berpesan supaya menjaga diri sepanjang berada di sana.

Sementara ibu Allahyarhamah Siti Nur Ies’Mawida, Mazinah Mahmood berkata beliau masih terkejut diatas kehilangan anak keduanya yang sepatutnya pulang pada 1 Ogos lalu namun redha dengan ketentuan Ilahi.

 


Pengarang :