NASIONAL

Persembahan Pancaragam Beruniform tambah seri Hari Kebangsaan 2018

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya tidak akan berseri tanpa alunan muzik yang dipersembahkan Pancaragam Gabungan Pasukan Beruniform.

Seramai 524 anggota pancaragam ini terdiri daripada 10 pasukan beruniform melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Tidak ketinggalan penyertaan Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Di samping itu, lagu tema Hari Kebangsaan 2018 ciptaan Sam Bunkface dan dinyanyikan kumpulan Bunkface, ‘Kita Punya Malaysia’ turut berkumandang.

Selain itu, lagu Keranamu Malaysia, Jalur Gemilang, Malaysia nyanyian Faizal Tahir serta Setia dendangan Francissca Peter turut dimainkan.

Acara perbarisan dan perarakan kali ini turut melibatkan Kontinjen Pembawa Bendera Besar berukuran 80 kaki X 40 kaki.

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bertindak selaku penyelaras dengan kekuatan 60 orang kontinjen.

Seramai 660 orang dari Kadet Remaja Sekolah pula bertindak sebagai pembawa Bendera Jalur Gemilang diikuti 2,000 pembawa bendera negeri-negeri yang diselaraskan Kementerian Pendidikan Malaysia.

 


Pengarang :