NASIONAL

Pertukaran guru tidak dibeku – Maszlee Malik

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pertukaran guru tidak dibekukan dan masih menggunakan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dalam memproses permohonan pertukaran.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata pihaknya menerima 5,573 permohonan pertukaran guru dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung sementara 873 permohonan dari Semenanjung ke negeri tersebut.

“Kami masih menggunakan SOP sedia ada iaitu berdasarkan beberapa kriteria seperti kepentingan perkhidmatan, kekosongan jawatan di negeri yang dimohon dan keperluan opsyen di negeri yang dimohon.

KPM juga memberi keutamaan kepada permohonan guru atas alasan mengikuti pasangan dan kami turut mempertimbangkan permohonan kes lain seperti sakit kronik dan ancaman keselamatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Maszlee menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang ingin tahu sama ada KPM membekukan permohonan guru dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke Semenanjung Malaysia.

Maszlee berkata kekurangan pertukaran guru dari Sabah dan Sarawak sejak beberapa bulan lalu adalah berikutan guru yang memohon pertukaran adalah mereka yang mengajar kelas peperiksaan penting pada tahun ini.

“Sehingga kelas peperiksaan berakhir tahun ini, barulah permohonan mereka akan dibawa dan ada juga pertukaran guru yang mengajar subjek kritikal iaitu Pendidikan Islam. Kalau mereka (guru mengajar Pendidikan Islam) ditukarkan, maka kami akan terus kekurangan guru bagi subjek tersebut di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Maszlee berkata KPM juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk melihat mekanisme pelaksanaan dan cadangan mewujudkan jawatan Pembantu Guru bagi meringankan beban tugas guru di sekolah.

“Kementerian amat prihatin dengan beban tugas guru dan KPM juga akan melihat intervensi lain untuk mengurangkan beban tugas guru secara holistik seperti melibatkan sukarelawan dan guru pencen di sekolah-sekolah.

“Hasil laporan daripada jawatankuasa ini akan dijadikan kertas cadangan untuk pertimbangan kelulusan Kabinet,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :