Perutusan Hari Kebangsaan ke-61 oleh Dato’ Menteri Besar Selangor | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Perutusan Hari Kebangsaan ke-61 oleh Dato’ Menteri Besar Selangor

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya kita dapat meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke 61 pada kali ini.

Tarikh keramat 31 Ogos membawa kita merenungi kembali makna kemerdekaan.

Kira-kira pada detik ini 61 tahun yang lalu, bendera Union Jack telah diturunkan buat kali terakhir di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad menandakan berakhirnya pemerintahan British di tanah air kita.


Detik ini adalah permulaan buat sebuah negara yang kini mempunyai penduduk sejumlah 32 juta orang yang berbilang kaum, agama, etnik dan kepercayaan.

 

Apakah makna sebenar Hari Kebangsaan bagi kita rakyat Malaysia khususnya penduduk Selangor, negeri yang berbilang kaum dan budaya, pusat pembangunan ekonomi Malaysia?

Hari Kebangsaan adalah hari yang signifikan bukan sahaja diisi dengan perarakan, percikan bunga api dan juga kibaran bendera sahaja namun ia adalah simbol kebebasan dan pengorbanan yang harus kita insafi.

Perjalanan 61 tahun ini bukanlah tanpa darah, keringat dan air mata. Perjuangan para perajurit kita menuntut dan mempertahankan keamanan serta kedaulatan negara adalah tunjang makna Hari Kebangsaan.

Kebebasan yang dikecapi ini tentunya memberi makna yang sangat besar buat kita semua. Kebebasan yang harus kita pertahankan dengan sepenuh jiwa raga demi masa depan anak cucu bangsa Malaysia.

Tema ‘Sayangi Malaysiaku’ yang merupakan tema sambutan Hari Kebangsaan kali ke 61 tahun ini adalah manifestasi semangat rakyat Malaysia pasca 9 Mei 2018.

Kebebasan yang dinikmati selama 61 tahun ditambah dengan kejayaan menumbangkan rejim kleptokrat adalah bukti kesepaduan rakyat Malaysia yang cintakan negara dan bangsa.

Alhamdulillah, peralihan kuasa yang berlaku dengan aman dan sejahtera adalah asas prinsip demokrasi berparlimen serta Raja Berpelembagaan yang diamalkan Malaysia.

Kini, marilah sama-sama kita mengembleng tenaga merancakkan pembangunan ekonomi negara serta memfokuskan kepada agenda pentadbiran untuk kembali membawa nama Malaysia ke persada dunia.

Kejayaan negeri Selangor menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2017 dengan angka 23 peratus adalah bukti kerjasama yang era tantara kerajaan dan rakyat dalam memakmurkan negeri.

Kejayaan ini telah menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dan membawa Selangor menjadi mercu tanda ekonomi Malaysia.

Mandat rakyat yang besar dan jelas pada Pilihanraya ke 14 telah membuktikan bahawa prinsip pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang telus, adil dan berintegriti disenangi rakyat tidak kira kaum, agama dan peringkat umur.

Mendepani cabaran yang mendatang, saya ingin mengajak ketumbukan rakyat, agensi kerajaan, pihak swasta dan korporat agar kita dapat maju bersama dalam misi menjadikan Selangor ‘Lembah Kemakmuran’ buat setiap rakyatnya.

Kejayaan yang kita kecapi hari ini tidak bermakna jika ada yang masih terpinggir dan tersisih. ‘Keluarga besar’ Negeri Selangor ini adalah tunjang utama dalam memastikan hasil dan kejayaan negeri dinikmati oleh semua.

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua petugas dan anggota keselamatan yang telah menabur bakti demi mempertahankan ibu pertiwi.

Tanpa jasa mereka, keamanan yang kita nikmati hari ini tidak akan terhasil. Budi dan khidmat bakti menjadi contoh kepada generasi muda mengenai erti sebenar kemerdekaan.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke 61 ! Sayangi Malaysiaku !

 

YAB Tuan Amirudin bin Shari

Dato’ Menteri Besar Selangor

30 Ogos 2018

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next