GLOBAL

Pesawat Jerman terima ancaman bom mendarat cemas

ATHENS 17 OGOS: Sebuah pesawat komersial Jerman membawa 250 orang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di pulau Crete semalam susulan ancaman bom.

Seorang pegawai polis berkata, juruterbang itu menghubungi menara kawalan lapangan terbang Chania bagi mendapatkan kebenaran untuk mendarat selepas menerima maklumat berhubung kewujudan bahan peletup dalam pesawat terbabit.

“Pesawat itu dikosongkan serta merta sebaik mendarat dan semua penumpang berada dalam keadaan selamat,” kata pegawai itu.

Laporan awal menyebut bahawa pesawat Boeing 737 milik syarikat penerbangan Condor dari Jerman telah berlepas dari Mesir dan dijadualkan menuju ke Duesseldorf, Jerman.

Pada Mei 2016, pesawat EgyptAir yang sedang dalam penerbangan dari Paris ke Kaherah terhempas di perairan Crete, membunuh kesemua 66 orang di dalamnya.

Menurut penyiasat, satu kebakaran berlaku di bahagian kokpit pesawat Airbus320 itu sebelum ia menjunam ke dalam laut dan kerajaan Mesir berkata, terdapat kesan bahan letupan ditemui pada tubuh beberapa mangsa.

SUMBER: AFP


Pengarang :