NASIONAL

Petron bukan pembekal tunggal petrol, diesel Kerajaan – MOF

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan Petron bukanlah pembekal tunggal minyak petrol dan diesel kenderaan milik Kerajaan walaupun sudah dilantik secara rasmi menerusi satu memorandum yang dikeluarkan, hari ini.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, Petronas dan Shell masih lagi merupakan pembekal minyak petrol dan diesel untuk kegunaan kenderaan Kerajaan selepas Petron Fuel International Sdn Bhd dilantik sebagai salah satu pembekal bahan api yang sah.

“Untuk makluman Petronas dan Shell sudah menjadi pembekal minyak kenderaan kepada Kerajaan sejak 1997 lagi.

“Melalui kelulusan ini, Kerajaan memperoleh lebih banyak pilihan di antara Petronas, Shell dan Petron sekaligus dapat membuka peluang serta persaingan yang sihat di kalangan pembekal minyak petrol dan diesel,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas isu pelantikan Petron sebagai pembekal bahan api kenderaan Kerajaan menjadi tular di media sosial, hari ini.

Guan Eng berkata, pelantikan itu dibuat kerana ia adalah berkaitan dengan urusan operasi dan tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada Kerajaan.

Katanya, Kerajaan juga tidak menghadkan jumlah pembekal di mana pembekal lain yang berwibawa dan mempunyai jaringan stesen di seluruh negara boleh memohon.

 


Pengarang :