SELANGORSUKANKINI

Piala Sultan Selangor: MPAJ sedia bas bawa pelajar PPKI SMK Seri Keramat

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Majlis Pebandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan menyediakan sebuah bas bagi membawa pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keramat, menyaksikan perlawanan Piala Sultan Selangor, 25 Ogos ini.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussin berkata, kemudahan itu diberikan bagi menghargai kerjasama diberikan pihak sekolah berkenaan kepada MPAJ selama ini.

“Kita sering mengadakan pelbagai program bersama mereka dan sekolah sebelum ini.

“Bagi melancarkan perjalanan untuk ke stadium pada hari pertandingan, MPAJ akan menyediakan sebuah bas yang boleh membawa pelajar ini dan pembantu,” katanya dalam sidang media di SMK Seri Keramat, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abdul Karim Munisar menyampaikan tiket Piala Sultan Selangor kepada 36 pelajar PPKI SMK Seri Keramat serta Pengetuanya, Kamarudin Kudong.

Kejohanan Piala Sultan Selangor edisi ke 17 tahun ini, akan diadakan di Stadium Shah Alam mempertemukan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura.

Selain itu, pertandingan hasil cetusan idea Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mempertandingkan dua perlawanan lain iaitu antara pasukan sekolah Selangor-Singapura B16 dan Veteran Selangor-Singapura.


Pengarang :