SUKANKINI

Pilihan Selangor azam juarai Piala Sultan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 OGOS: Selaku tuan rumah, Pilihan Selangor berazam menggunakan segala kelebihan untuk menjuarai Piala Sultan Selangor menentang Pilihan Singapura di Stadium Shah Alam di sini, 25 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abdul Karim Munisar berkata, berdasarkan persiaparan rapi dan barisan pemain, PKNS FC yang turun sebagai Pilihan Selangor diyakini mampu merealisasikannya kali ini.

“Piala Sultan Selangor 2018 adalah edisi ke-17 dan di sepanjang kejohanan, Pilihan Selangor dan Singapura masing-masing sudah menjuarainya tujuh kali selain sekali juara bersama.

“Maka kejohanan kali ini penting untuk Pilihan Selangor menjuarainya bagi mengatasi Pilihan Singapura dan dengan skuad yang ada, kita yakin ia mampu dicapai,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Jelajah Publisiti dan Penyerahan Tiket Piala Sultan Selangor di Wisma PKNS di sini, hari ini.

Selain kejohanan utama itu, Abdul Karim yang juga Pengurus Pasukan Pilihan Selangor berharap pasukan Veteran Selangor dan Sekolah Selangor B-16 juga menjuarai pertandingan masing-masing bagi melengkapkan pencapaian menyapu bersih tiga piala tahun ini.

Katanya, pertandingan untuk pasukan sekolah B-16 antara Selangor dan Singapura kali pertama diadakan tahun lalu di Singapura dan ia penting untuk dimenangi tahun ini.

“Ia kali pertama tiga piala dipertandingkan di sini tahun ini dan kita berharap dapat menjuarai ketiga-tiga piala ini di Selangor,” katanya.

Untuk kejohanan Piala Sultan Selangor kali ini, Pilihan Selangor diwakili PKNS FC diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain Selangor iaitu Mohd Amri Yahyah dan Rufino Segovia del Burgo.

Jurulatih, Datuk K Rajagopal berkata, dengan persiapan dilakukan serta menempuh saingan Piala Malaysia dijalankan ketika ini, pihaknya berharap mampu mencapai sasaran bagi menjuarainya.

“Kita teruja apabila terpilih sebagai Pilihan Selangor untuk kejohahan di Shah Alam ini dan sudah tentu kita ingin muncul juara untuk dihadiahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya.


Pengarang :