BERITA UTAMASUKANKINI

Pilihan Selangor menang atasi Pilihan Singapura menerusi penalti

SHAH ALAM 25 OGOS: Pasukan Pilihan Selangor berjaya menundukkan Pilihan Singapura dalam kategori saingan Piala Sultan Selangor 2018 di Stadium Shah Alam menerusi sepakan penalti 5-3.

Pemenang dalam kejohanan itu ditentukan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan 1-1.

Sebelum itu, pasukan veteran Selangor berjaya menewaskan veteran Singapura 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam kategori veteran saingan Piala Sultan Selangor 2018.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 hasil jaringan pemain veteran Selangor, Karim Pin pada minit ke-15 sebelum Singapura menyamakan kedudukan menerusi Steven Tan, 12 minit kemudian.

Pada penentuan sepakan penalti, Nazzab Hidzan meledak gol kemenangan veteran Selangor selepas Steven Tan gagal menyempurnakan sepakan penalti kedua veteran Singapura.

Lebih 40,000 penonton membanjiri stadium keramat Red Giants itu yang menampilkan tiga aksi menarik membabitkan dua musuh tradisi Selangor dan Singapura iaitu skuad bawah 16 tahun (B-16), pasukan veteran dan pasukan pilihan.

Selain tiga aksi itu, saingan setahun sekali itu turut dimeriahkan dengan beberapa pertunjukan termasuklah persembahan artis, pancaran laser istimewa dan bunga api.

Lebih menarik, hadiah cabutan bertuah berupa sebuah kereta Honda City turut menjadi rebutan seluruh penyokong kedua-dua pasukan.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan dan menyaksikan Piala Sultan Selangor 2018.

Baginda turut diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut hadir pada perlawanan itu adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan pengerusi Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abdul Karim Munisar.


Pengarang :