PBTSELANGOR

‘PJ Car Free Day’ tema Hari Kebangsaan meriah

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 14 OGOS: Kira-kira 7,000 pengunjung menyertai ‘PJ Car Free Day’ bertemakan Hari Kebangsaan yang dianjurkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya, Ahad lalu.

Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporat MBPJ berkata, program kali ini menampilkan kelainan, berbanding penganjuran sebelum ini.

Katanya, buat pertama kali tema itu dipilih bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk dan masyarakat luar yang bakal menyambutnya, pada 31 Ogos ini.

“Program ini turut memberikan peluang kepada masyarakat awam untuk melakukan aktiviti komuniti bersama keluarga, di Taman Bandaran Kelana Jaya.

“Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya PJ Smart Ride, Treasure Hunt, Persembahan Sky Runner, Persembahan Kebudayaan, Fun Colour Run, Pertandingan Melukis, Pertandingan Pakaian Beragam Kucing dan pelbagai lagi,” katanya.

MBPJ berkata, program itu adalah usahanya menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya hijau dan mampan, di samping mengajak penduduk tempatan bersama memelihara tenaga serta sumber bagi mengurangkan penggunaan kenderaan untuk mengawal pencemaran udara.

Katanya, ia juga sebahagian daripada inisiatif Local Agenda 21 Petaling Jaya untuk mencapai matlamat bandar raya berkarbon rendah, selaras hasrat kerajaan.

“MBPJ berharap menerusi program ini, masyarakat akan menyokong usaha merealisasikan matlamat bandar raya berkarbon rendah, hijau dan bebas halangan.

“Di samping itu, MBPJ juga ingin menyeru orang ramai supaya mengutamakan penggunaan pengangkutan awam dan menukar mod perjalanan daripada kenderaan bermotor kepada ‘green active transportation’ seperti berbasikal dan berjalan kaki.

“Sasaran MBPJ pada masa akan datang ialah masyarakat setempat lebih mengutamakan penggunaan kemudahan pengangkutan awam, berbasikal, berkenderaan hybrid dan inisiatif lain yang mesra alam sekitar,” katanya.


Pengarang :