SELANGOR

PKNS hasrat sumbang 50% pendapatan untuk khidmat kesihatan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

RAWANG, 20 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berhasrat meningkatkan sumbangan di luar skop pembangunan hartanah kepada 50 peratus pendapatan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noraida Mohd Yusof berkata, penumpuan itu khususnya terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih berkualiti, di Selangor.

Katanya, ia ekoran masih terdapat jurang yang boleh dipertingkatkan terhadap akses rakyat dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Ini berpunca daripada pertambahan bilangan penduduk, peningkatan beban penyakit dan jangkaan hayat rakyat yang semakin tinggi, termasuk peningkatan penggunaan perkhidmatan kesihatan.

“Justeru, sebagai Kerajaan yang maju dan berjiwa rakyat, kita terus memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur penjagaan kesihatan yang moden dan canggih,” katanya pada Majlis Perletakan Batu Asas Hospital SELGATE Rawang, di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, Noraida berkata, sudah tiba masa bagi industri penjagaan kesihatan di negeri itu turut dipelopori PKNS, setelah lebih 50 tahun pengalaman dalam industri pembinaan dan pembangunan hartanah.

“Ini kerana kejayaan ekonomi tidak boleh bergantung semata-mata kepada sektor pembinaan dan pembangunan hartanah tetapi memerlukan penumpuan sektor lain seperti perkhidmatan kesihatan untuk menjana lebih banyak pendapatan berulang (recurring income).

“Buktinya di Selangor, kita memiliki 12 hospital kerajaan, 45 pusat perubatan swasta, 194 klinik kesihatan awam dan 17 klinik komuniti.

“Manakala sekitar 1,500 klinik swasta yang turut beroperasi bagi menyampaikan perkhidmatan kesihatan kepada hampir 6 juta penduduk,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, PKNS turut akan sentiasa memberi sokongan padu bagi membantu menjadi ejen perubahan mentransformasikan Selangor sebagai negeri yang memberikan perkhidmatan dan penjagaan kesihatan bertaraf antarabangsa serta pintar.


Pengarang :