SELANGOR

PLKN dan BTN dimansuhkan serta-merta

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Kerajaan Persekutuan mengumumkan pemansuhan Program Latihan Khidmat Negara dan Biro Tata Negara (BTN) berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, dua program dimansuhkan itu akan diganti dengan program baru yang dapat membentuk belia masa hadapan berwawasan serta mempunyai nilai jati diri tinggi.

“Program terbaru itu akan diuruskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang akan melalui proses penstrukturan semula fungsi, perjawatan, peruntukan kewangan dan aset Jabatan Latihan Khidmat Negara dan BTN.

“Pengisian program ini dirangka secara holistik dengan menggabungkan aktiviti ‘indoor’ dan ‘outdoor’ berimpak tinggi bagi menyerlahkan potensi anak muda,” katanya dalam sidang media, di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, KBS akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk kementerian lain bagi memutuskan bentuk program baru dan akan mengumumkannya kelak.

Selain itu, KBS juga akan melakukan penstrukturan semula program 1M4U yang seharusnya melahirkan lebih banyak sukarelawan dalam kalangan belia tetapi dahulunya digunakan sebagai medium kempen ‘I Love PM’.

Syed Saddiq berkata, KBS mensasarkan sekurang-kurangnya satu program sukarelawan dianjurkan setiap minggu menerusi program baru kelak.

Menyentuh soal kedudukan kakitangan sedia ada, Syed Saddiq menjelaskan, kesemua mereka akan diserap ke program baru dan sebarang perubahan akan diumumkan kemudian.


Pengarang :