NASIONAL

PM: Bila rakyat kaya, kerajaan pun kaya kutip cukai

NASIONAL 26 OGOS: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan berhasrat membangunkan negara dengan menumpukan kepada agenda ‘memperkayakan rakyat’ melalui pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata, ini bagi mendidik rakyat agar lebih berdikari dan cekap untuk menjana pendapatan sendiri melalui perniagaan sekaligus membantu meningkatkan ekonomi negara.

“Bila rakyat kaya, kerajaan juga akan kaya kerana kita akan pungut hasil cukai daripada rakyat… kalau rakyat miskin kita pun tak boleh kutip cukai, ​​​sebab itu kita akan didik orang kita cekap berniaga dan boleh memegang apa juga jawatan,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Malaysia Baharu di Dataran Stargate di Alor Setar, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden HARAPAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Sehubungan itu Dr Mahathir berkata kerajaan akan berusaha sedaya upaya memberikan modal pinjaman kepada mereka yang berminat untuk menjalankan perniagaan dengan syarat ia haruslah dibayar semula kepada pihak yang memberikan pinjaman.

Rakyat bijak elak pemimpin penyangak

“Ada orang kata duit pinjam tidak payah bayar balik, itu tidak akan membangunkan negara… wang kita pinjam kita akan kembalikan kepada mereka yang memberi pinjaman,” katanya.

Walaupun Malaysia mengamalkan sistem demokrasi, Dr Mahathir turut menasihatkan rakyat supaya lebih bijak agar tidak tersilap dalam memilih pemimpin negara.

“Kita percaya demokrasi memberikan hak kepada rakyat (untuk memilih pemimpin), tapi rakyat mesti bijak; kalau terima apa saja dibuat oleh pemimpin maka rakyat akan dapat pemimpin penyangak,” katanya.

Perdana menteri turut meminta rakyat agar memberikan lebih banyak masa kepada kerajaan HARAPAN untuk memulihkan negara yang disifatkan beliau telah rosak kerana kerakusan kerajaan terdahulu.

Program dihadiri lebih 1,000 orang itu merupakan jelajah pertama HARAPAN selepas membentuk kerajaan Mei lalu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :