NASIONAL

PM: Dakwaan Jho Low tidak berasas

OLEH HAFIZAN TAIB

SERDANG, 12 OGOS: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menafikan dakwaan jutawan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low yang mengaitkannya dengan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) berkaitan isu penyerahan kapal layar mewah, Equanimity.

Beliau berkata, dakwaan itu tidak berasas sama sekali dan sekiranya benar dirinya boleh dianggap lebih hebat berbanding Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Kalau begitu, saya bangga kerana boleh bercakap bagi pihak kerajaan AS.

“Seharusnya Jho Low tanya kepada DOJ berhubung perkara itu,” katanya kepada media selepas melawat pameran seni, Tun M: A Forever Legacy di Universiti Perdana, Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Universiti Perdana, Norpisah Mat Isa dan isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir berkata demikian berhubung dakwaan Jho Low melalui jurucakapnya, menyatakan rampasan dilakukan Malaysia ke atas kapal layar mewah, Equanimity bernilai kira-kira AS$250 juta itu sebagai tidak sah dan ‘merampas’ prosiding undang-undang negara lain.

Beliau turut mendakwa pembabitan pihak berkuasa AS berkaitan penyerahan kapal dikaitkan menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari Indonesia ke Malaysia, yang sampai di Pelabuhan Klang, Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kerajaan juga akan berusaha mendapatkan semula jet persendirian, Bombardier Global 5000 dikaitkan Jho Low yang dikatakan dirampas kerajaan Singapura.

“Saya kira kerajaan harus juga membawa jet itu kembali ke Malaysia,” katanya.

Jet bernilai lebih AS$5 juta turut dikaitkan dengan dana 1MDB dikatakan dimiliki Jho Loe dilaporkan ketika ini berada dalam simpanan kerajaan Singapura.


Pengarang :