SELANGOR

PNSB jamu raja buah erat hubungan antara agensi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 OGOS: Program Jom Bersantai Sambil Makan Durian anjuran Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dijadikan landasan bagi merapatkan hubungan dengan jabatan dan agensi lain, di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Seri Ahmad Omar berkata, program terbabit juga memberi peluang PNSB mengenali rakan niaga dengan lebih dekat.

“Musim durian bukanlah ada sepanjang tahun, justeru PNSB mengambil peluang ini untuk menyantuni rakan daripada jabatan atau agensi lain serta rakan niaga kami.

“Ini peluang yang baik untuk kami beramah mesra, di samping merapatkan lagi silaturahim dengan mereka,” katanya kepada Media Selangor, pada program berkenaan yang berlangsung di Stadium Mini Shah Alam di sini, semalam.

Beliau berkata, PNSB sedia menganjurkan program sama, pada masa akan datang jika terdapat kesesuaian waktu dan bekalan durian mencukupi.

Terdahulu, majlis berkenaan turut dihadiri kakitangan daripada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB).


Pengarang :