NASIONAL

Polis siasat LHDN

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Kes cukai terlebih bayar yang tidak dikembalikan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada pembayar berjumlah RM14.56 bilion disiasat sebagai pecah amanah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, semua ahli lembaga pengarah sedia ada dan penyandang terdahulu dijangka dipanggil memberi keterangan untuk merungkai kes terbabit.

Katanya, antara yang dijangka dipanggil memberi keterangan berhubung kehilangan dana yang sepatutnya dipulangkan kepada 1,653,786 pembayar cukai itu ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

“Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan,” katanya lapor BHOnline.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mendedahkan skandal penyelewengan wang pembayar cukai pendapatan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu yang diterajui Barisan Nasional.

Katanya, kerajaan terdahulu gagal menjelaskan lebihan bayaran balik cukai pendapatan dan Cukai Keuntungan Hartanah (CKHT) berjumlah RM16.046 bilion, setakat 31 Mei lalu.

Katanya, lebih 1.6 juta pembayar cukai itu, termasuk syarikat, individu, persatuan dan yayasan, merangkumi rekod selama enam tahun lalu.

“Pemalsuan nilai dalam akaun dan penyelewengan bayaran balik cukai ini sama ada untuk tujuan tertentu atau sekadar menutup defisit sebenar demi memperlihatkan wujudnya keadaan lebihan akaun.

“Bayaran balik cukai hanya boleh dibuat menggunakan baki TBBC, namun semakan setakat 30 Mei 2018 berdasarkan laporan Jabatan Akauntan Negara mendapati ia hanya mempunyai RM1.486 bilion, sangat rendah jika dibandingkan dengan RM16.046 bilion yang diperlukan untuk proses berkenaan.

“Oleh itu, jelas RM14.56 bilion yang tidak dipindahkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC dianggap atau diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan lama,” katanya.

 


Pengarang :