SASTERA

Politikus, seni dan ingatan-ingatan kecil

Oleh Haizir Othman

Keistimewaan program Santai Seni di Esplanade, Temerloh 14 Julai lalu barangkali adalah: ia amat menepati konsep santai seperti namanya. Konsep tiada pentas, selain penyair bebas membuat persembahan dari mana-mana tempat yang difikirkannya sesuai mungkin belum pernah dibuat sesiapa. Ia barangkali satu bentuk kreativiti baru atau sebenarnya si penganjur terlalu kelam-kabut mengurus acara, namun diselamatkan keadaan.

Tapi tak kiralah apa pun, program malam itu tetap berjalan seperti yang sepatutnya satu acara sastera berlangsung – dengan deklamasi sajaknya, nyanyian lagu puisinya, selokanya dan lain-lain. Cuma selainnya ia ditambah dengan perencah-perencah lain untuk disesuaikan dengan tema “Malaysia Baru”nya seperti pelancaran Tabung Harapan, nyanyian beramai-ramai lagu Sejahtera Malaysia dan ucapan wakil rakyat Temerloh.

Muhammad Anuar Tahir belum jadi timbalan menteri kerja raya sewaktu beliau mencadangkan program ini. Malah mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen Temerloh pun belum. Peruntukan belum ada. Yang ada cuma beberapa orang pekerja pejabat parlimen, aktivis NGO Kumpulan Anak Muda Yayasan Pembangunan Ummah (KAMY) dan semangat yang kadang-kadang menyala kadang-kadang malap. Ia mungkin tidak banyak, tapi cukup untuk Santai Seni versi pertama kali selepas setiausaha agung Amanah menang PRU-14 di bumi kelahiran Sudirman itu.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang melancarkan buku “Puisi Peduli” Anuar Tahir menyifatkan program malam itu sebagai lain daripada yang biasa beliau hadiri. Kenyataan itu mungkin lahir kerana beberapa perkara. Pertama, ia santai. Ya, sengaja disebut sekali lagi kerana selain dari unsur-unsur di atas, pada program itu juga para penonton bebas berlegar-legar di sekitar tapak program, mengambil gambar bersama Pak Samad dan lain-lain sewaktu acara masih berlangsung, sehingga pada satu ketika tidak dapat dibezakan siapa pembuat persembahan dan siapa penonton.

Kedua, beliau melancarkan buku puisi tulisan seorang ahli politik, situasi yang agak tidak biasa berlaku di sini. Bagi negara yang pernah ada rekod salah seorang ahli dewan undangan negerinya meminta ruangan seni dalam akhbar milik kerajaan negerinya sendiri ditutup, pemaduan antara sastera dengan politik mungkin kedengaran janggal, kalau pun tidak kelakar. Untuk rekod, buku puisi Anuar Tahir berjudul “Puisi Peduli” mengandungi sejumlah 60 buah puisi yang merakamkan pengalaman beliau selaku pemimpin mahasiswa, pendidik, aktivis sukarela, pemimpin gerakan Islam dan lain-lain sebelum terjun ke kancah politik

Malah aktivis teater, Dinsman sempat berasa ragu-ragu dengan pelawaan ke acara itu terutama selepas Anuar dilantik timbalan menteri 2 Julai lalu. Sangkanya, acara itu batal kerana menurut pengalamannya, orang politik tidak kira berpangkat besar atau tidak, lebih-lebih lagi sesudah mendapat jawatan tinggi, apabila berdepan isu sastera akan meletakkan keutamaan terbawah berbanding perkara lain. Tapi, dalam kes ini, tidak. Acara jalan terus dan beliau mendeklamasikan sajaknya, “Sajak Panjang Untuk Mahathir 4” pada malam itu dengan penuh semangat.

Ketiga, ini mungkin acara sastera pertama anjuran kerajaan baru Pakatan Harapan pada era Malaysia Baru, walau sekecil mana pun ia. Penganjurannya mungkin satu berita baik kepada masa depan sastera dan seni budaya negara yang masih menanti perancangan dan hala tuju baru selepas berlaku pertukaran kerajaan pasca PRU-14 lalu.

Selainnya, penonton dilihat terhibur dengan persembahan baik dari bekas setiausaha politik Tuan Guru Nik Aziz, Anbakri Haron yang menyampaikan lagu puisi, dua lagu nyanyian dan ciptaan bekas rockers dari Ipoh, Airmas SZ, deklamasi sajak dari adik bongsu legenda sastera negara Pak Sako, Cikgu Khalid Haji Muhammad, sajak Raja Ahmad Aminullah, deklamasi sajak dari Anuar Tahir, seloka dan sajak dari pelajar-pelajar SMK Temerloh dan persembahan latar band tempatan D’ Santai. Buktinya, dataran Esplanade penuh sehingga ke penghujung acara melewati jam 11 malam.

Menganjurkan acara seni sebegini mungkin agak jauh dari bayangan kita untuk seorang pemimpin kerajaan yang memegang portfolio timbalan menteri kerja raya. Tapi jangan salahkan Anuar Tahir, itu sudah jadi minat dan keghairahannya sejak muda. Malah, ia bakal jadi sisi menarik politikus ini selain urusan rasminya mengurus jalan-jalan berlubang, tol-tol lebuh raya, projek-projek kerajaan dan sebagainya. Dan jika beliau dilihat ada kecenderungan lain atau mula digoda habuan tertentu, kita ada buku puisinya untuk ditunjukkan kepadanya sebagai peringatan-peringatan kecil.


Pengarang :