SELANGOR

PREC rancang taja bil utiliti rumah kebajikan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 OGOS: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) merancang untuk meneruskan aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya menerusi penajaan secara subsidi bil utiliti, di rumah kebajikan yang terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sr Fakru Radzi Ab Ghani berkata, ia membabitkan empat rumah kebajikan antaranya di Beranang, Bukit Raja, Kampung Melayu Subang dan Puncak Alam.

Beliau berkata, pihaknya pernah menyantuni rumah kebajikan terbabit sebelum ini menerusi program Kembara Ramadan PRECsters 2018.

“Kita sudah meminta bil utiliti rumah kebajikan ini untuk diteliti.

“PREC menjangkakan ia akan bermula tidak lama lagi dan menyasarkan ia akan dilakukan dalam tempoh beberapa tahun,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Fakru Radzi berkata, PREC juga merancang untuk menyediakan khidmat kelas tambahan percuma kepada pelajar miskin, di Pusat Tuisyen Sayang, di Seksyen 16.

PREC adalah syarikat pelaburan hartanah dan anak syarikat Kerajaan Negeri yang ditubuhkan sejak 2012.

PREC kini memiliki enam bangunan di kawasan Lembah Klang termasuk SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi.

Dalam tempoh enam tahun, PREC mewujudkan anak syarikatnya PHSB iaitu syarikat pengurusan tempat letak kereta.

PREC dan PHSB adalah syarikat yang aktif melaksanakan aktiviti CSR menerusi pelbagai jenis bantuan antaranya menaik taraf beberapa sekolah khususnya Sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), di Selangor.


Pengarang :