SELANGOR

PRK Balakong saksikan pertembungan Pakatan Harapan dan MCA

OLEH NORHAYATI UMOR

HULU LANGAT, 18 OGOS: Pilihan Raya Kecil (PRK) N27 Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong secara rasminya bermula hari ini dengan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Pakatan Harapan (PAKATAN) dan MCA.

Dua calon layak untuk bertanding selepas nama mereka diumumkan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK DUN Balakong, Dato’ Rosli Othman.

Calon MCA, Tan Chee Teong, menyerahkan borang penamaan pada jam 9.06 minit pagi diikuti calon PAKATAN, Wong Siew Ki, pada jam 9.13 minit pagi.

“Saya berpuas hati. Tiada calon ditolak penamaannya dan semua calon ini sah bertanding, dalam PRK kali ini,” kata Rosli.

Siew Ki, 32, adalah Ketua DAPSY Serdang dan Timbalan Wanita Serdang serta pernah menjadi Ahli Majlis, di Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Manakala, MCA mempertaruhkan ahli perniagaan yang juga anak tempatan, Chee Teong, 40, sebagai calonnya.

Chee Teong yang sudah beristeri dan mempunyai tiga anak berkelulusan diploma, dari Help Institute.

Buat pertama kalinya, PRK Balakong dan Seri Setia menyaksikan logo PAKATAN digunakan buat pertama kali.

Dalam PRK kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah 29 saluran pada hari pengundian PRK DUN Balakong yang akan dijalankan pada 8 September ini menjadikan jumlah saluran sebanyak 129.

Ia ekoran pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebanyak 100 saluran disediakan dan berlaku kesesakan kerana jumlah pengundi yang ramai.

Kerusi DUN Balakong kosong apabila penyandangnya, Eddie Ng, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, pada 20 Julai lalu.

Pada PRU14, Eddie yang bertanding menggunakan logo KEADILAN, menang majoriti 35,538 undi selepas menewaskan calon PAS, Mohamad Ibrahim Ghazali dan Lim Chin Wah (BN).

 


Pengarang :