BERITA UTAMASELANGOR

PRK Balakong: Selesai hantar borang pencalonan

OLEH NORHAYATI UMOR

HULU LANGAT, 18 OGOS: Semua Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong selesai menghantar borang pencalonan.

Kini menunggu pengumuman rasmi bagi pengesahan calon oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK DUN Balakong, Dato’ Rosli Othman.

Calon MCA, Tan Chee Teong, menghantar borang kira-kira jam 9.05 pagi.

Manakala, Calon Pakatan Harapan, Wong Siew Ki, menyerahkan borang pencalonan, pada jam 9.10 pagi.

Terdahulu, Siew Ki diiringi Setiausaha DAP, Lim Guan Eng dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke yang berarak ke Pusat Penamaan Calon, di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.

Kerusi DUN Balakong kosong apabila penyandangnya, Eddie Ng, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, pada 20 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, mendiang Eddie yang bertanding menggunakan logo KEADILAN menang majoriti 35,538 undi selepas menewaskan calon PAS, Mohamad Ibrahim Ghazali dan Lim Chin Wah (BN).

Kubu kuat DAP itu sebelum ini pernah menjadi kerusi selamat buat MCA sehingga 2008 apabila parti komponen Barisan Nasional (BN) tewas, di situ.

 

 


Pengarang :