BERITA UTAMASELANGOR

PRK Seri Setia: Terus berjuang perkasa keharmonian kaum

OLEH SHEEDA FATHIL

KELANA JAYA, 27 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Seri Setia, Halimey Abu Bakar, mengambil pendekatan meneruskan perjuangan memastikan keharmonian kaum terus diperkasa.

Halimey berkata, pendekatan itu diambil daripada Ketua Umum PAKATAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menzahirkan manifestasi kasih sayang kepada rakyat di negara ini tanpa mengira kaum, budaya dan agama.

“Jika diberikan mandat pada PRK N.32 kali ini, saya tidak akan menjadi pemimpin kepada hanya satu-satu kaum sahaja. Saya adalah pemimpin untuk semua bangsa.

“Dasar perjuangan KEADILAN dan PAKATAN adalah untuk menjaga kebajikan semua kaum. Ia boleh dilihat menerusi barisan kepimpinan parti dan Kabinet yang ditubuhkan kerajaan baharu,” katanya pada sidang sedia PRK N.32 Seri Setia bertempat di Bilik Gerakan Umum, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Halimey menyeru masyarakat untuk bersama menolak pihak yang memainkan isu bangsa atau agama pada kempen PRK, kali ini.

Halimey berkata, pihak yang cuba memainkan isu bangsa atau agama pada kempen PRK hanya untuk meraih keuntungan politik sempit dan tidak bertanggungjawab.

“Keharmonian hidup dalam masyarakat yang bersifat majmuk khususnya di kawasan DUN Seri Setia tidak boleh dibiarkan tergugat oleh sikap rasis mana-mana pihak.

“Saya ingin menegaskan, tiada kompromi kepada mereka yang cuba menyalakan api kebencian dan rasa curiga dalam kalangan kita,” katanya.

Justeru, beliau berkata, semua pihak harus berbangga dengan kepelbagaian bangsa dan agama yang wujud, di sekeliling.

“Sekurang-kurangnya, kita dapat mengenali adab dan budaya pelbagai kaum, sekali gus mendidik diri untuk saling hormat-menghormati.

“Kepelbagaian kaum dan agama juga antara aset penting yang selama ini menjadi asas kejayaan dan pembangunan di negara kita termasuk Selangor serta DUN Seri Setia,” katanya.


Pengarang :