SELANGOR

PRK Seti Setia: Halimey ikrar bantu peniaga perluas perniagaan

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 21 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berikrar untuk membela nasib peniaga dan usahawan kecil.

Beliau juga ingin menjadi penghubung bagi membantu mereka mendapatkan bantuan perniagaan yang disediakan agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan jika melakar kemenangan, pada 8 September ini.

Katanyya, sebagai anak tempatan yang juga anak peniaga kecil sambil dibantu pengalaman selaku Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebelum ini, maka beliau optimis bidang perniagaan penduduk setempat mampu diperluaskan, di kawasan DUN Seri Setia.

Bahkan, beliau turut merancang untuk membina lebih banyak gerai supaya peniaga dapat menjalankan aktiviti dalam suasana lebih kondusif serta tersusun.

“Selaras dengan perkembangan teknologi kini, saya akan berusaha merangka pelbagai program bagi mendedahkan peniaga kecil di kawasan ini kepada penggunaan teknologi pemasaran berdasarkan internet iaitu Pemasaran Perniagaan Atas Talian (Online Business Marketing).

“Ini bertujuan mendedahkan golongan itu kepada suasana perniagaan yang lebih luas dan berdaya saing.

“Walaupun saya tidak mempunyai tangan emas menjadikan peniaga sebagai usahawan berjaya dalam tempoh singkat, namun percaya dengan usaha dan doa, maka impian itu akan menjadi satu kenyataan,” katanya dalam sidang media, di Bilik Gerakan Utama DUN Seri Setia.

Antara agensi yang memberikan bantuan perniagaan di Selangor adalah Skim Hijrah Selangor dan Skim Dana Keusahawanan Selangor, manakala Kementerian Pembangunan Usahawan melalui TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia, di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Halimey berkata, beliau juga akan memerangi kegiatan haram seperti ceti haram, operasi mesin judi dan rumah urut tanpa lesen di DUN Seri Setia kerana ia mendatangkan kemudaratan kepada institusi kekeluargaan serta komuniti setempat.


Pengarang :