SELANGOR

PRK Sungai Kandis: Mohd Zawawi ikrar terus dukung reformasi

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI KANDIS, 1 OGOS: Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berikrar akan terus mendukung perjuangan reformasi dalam setiap perkara khususnya berkaitan pentadbiran di Selangor.

Menggariskan lima teras utama, beliau mengajak rakyat di Sungai Kandis untuk terus bersama Kerajaan Negeri ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN) yang terbukti cekap, adil dan sentiasa memerangi unsur rasuah dalam tadbir urus.

“Saya akan bersama Kerajaan yang profesional dan terhindar daripada campur tangan politik dalam urusan pentadbiran serta syarikat berkepentingan kerajaan (GLC).

“Kebersamaan saya juga di dalam Kerajaan yang memberikan kebebasan maklumat kepada semua termasuk media.

“Kerajaan PAKATAN tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang atau menyentuh isu berkaitan kerahsiaan serta keselamatan negeri dan negara tercinta,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN.

Beliau turut berikrar terus memperjuangkan dasar Kerajaan Negeri yang sentiasa memelihara kepentingan rakyat tanpa menafikan bantuan kepada yang berhak selain menjunjung amalan membanteras kronisme dan nepotisme.

Selain itu, Mohd Zawawi turut memberikan jaminan akan sentiasa membawa suara rakyat ke Dewan Negeri Selangor (DNS) secara adil tanpa pilih kasih.

“Saya ingin tegaskan, DNS tidak memerlukan suara tambahan daripada parti Pembangkang.

“Mereka (Pembangkang) tidak mampu melaksanakan apa-apa kebajikan kepada rakyat disebabkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat pada hari ini adalah di bawah PAKATAN,” katanya.

Dalam sidang media sama, Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) Negeri Selangor yang diwakili Nik Mohd Yusoff Nik Ismail turut menyatakan sokongan kepada Mohd Zawawi dan meminta rakyat di Sungai Kandis memilih calon KEADILAN.


Pengarang :