Selangorkini
SELANGOR

PRK Sungai Kandis: Mohd Zawawi sasar 75% keluar mengundi

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 3 OGOS: KEADILAN mensasarkan 75 peratus pengundi bakal menjalankan tanggungjawab masing-masing, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, esok.

Calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, peratusan itu sedikit rendah ekoran kebanyakan pengundi tinggal di luar kawasan dan tidak menolak kemungkinan tawakuf daripada mengundi atas arahan parti masing-masing.

“Bagaimanapun, saya masih berkeyakinan pengundi akan keluar lebih 75 peratus dan saya sasarkan 10,000 majoriti boleh tercapai,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN PRK DUN Sungai Kandis, di sini, hari ini.

Seramai 50,800 pengundi Sungai Kandis sekali lagi mengundi selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia ekoran kanser limfoma.

Zawawi akan ditentang calon Barisan Nasional daripada Umno, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, Murthy Krishnasamy.

Pada Pilihan Raya Umum lalu, Shuhaimi menang dengan majoriti 12,480.


Pengarang :