KENYATAAN MEDIASELANGOR

Prof Dr Shaharuddin permata yang dirindui

Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin yang dilahirkan pada 19 September 1962 merupakan sorang pemimpin yang amat disegani dalam bidang pendidikan sains politik.

Anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor ini merupakan pakar dalam politik semasa dalam dan luar negara, perbandingan politik Islam dan Barat, politik pilihanraya serta politik sektor ketiga.

Jika kita menyelusuri latar belakang pendidikannya, beliau bukanlah seseorang yang biasa. Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Asia Tenggara dari Universiti Malaya.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Politik di Roosevelt University pada tahun 1992 dan kemudiannya menerima Ijazah Kedoktoran dari Universiti Malaya dalam bidang Islam dan Demokrasi.

Beliau mula menceburi bidang pendidikan apabila mula bergelar pensyarah di Institut Teknologi MARA (yang kini dikenali sebagai UiTM) pada tahun 1985 dan berkhidmat sebagai pendidik sehingga tahun 2013.

Bermula pada pertengahan tahun 2015, beliau diberi mandat sebagai Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti) di Universiti Selangor (UNISEL).

Sejak memasuki UNISEL, pelbagai dasar baharu diperkenalkan oleh beliau antaranya kebebasan kepada pelajar untuk berpolitik di dalam kampus, menyediakan kemudahan kepada pelajar, peluang membina rangkaian selain berjaya membentuk sahsiah pelajar menerusi beberapa teras dan memperkenalkan konsep “LIVES” yang meliputi kepimpinan, pengantarabangsaan, sukarelawan, keusahawanan dan sukan.

Sepanjang berada di UNISEL, pelbagai pembaharuan telah dilakukan oleh beliau terutama sekali dari segi pembangunan hal ehwal pelajar dan program-program jaringan dengan masyarakat setempat.

Unit seperti Pusat Jaringan Komuniti (COMNET) ditubuhkan dalam usaha untuk menjadikan warga UNISEL sebagai warga kampus yang prihatin.

Pelbagai program dilaksanakan di bawah kepimpinan beliau seperti program sukarelawan dan keusahawanan yang melibatkan hampir kesemua pelajar-pelajar dan kakitangan universiti.

Apa yang lebih menarik, di bawah kepimpinan beliau jugalah UNISEL telah berjaya menerima Dana Pengantarabangsaan daripada Kerajaan Negeri Selangor dimana para pelajar diberi peluang untuk membina jaringan antarabangsa di beberapa buah negara antaranya Indonesia, Brunei, Thailand, Vietnam, Australia, Korea Selatan, Kazakhstan dan negara-negara sekitar.

Setelah hampir tiga tahun berkhidmat di UNISEL, pada 24 Mac 2018, beliau telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dalam bidang pendidikan untuk memberi fokus sepenuhnya dalam bidang politik.

Pada Pilihanraya Umum Ke-14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018, beliau berjaya memenangi kerusi DUN Seri Setia menewaskan calon-calon lain dengan 29,250 undi.

Pembabitan beliau dalam bidang politik tidak berakhir disitu apabila beliau terpilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan.

Beliau amat terkenal dengan sikap rendah diri dan merupakan seorang pemimpin amat disegani dan disenangi oleh masyarakat setempat.

Dan, hari ini tanggal 2 Ogos 2018, Khamis Prof. Dr. Shaharuddin menghembuskan nafas terakhir pada 6.28 petang di Hospital Putrajaya.
Sesungguhnya berita ini amat memilukan bagi sesiapa sahaja yang pernah mengenalinya kerana

Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin adalah permata yang tidak ternilai harganya.

Salam Takziah & Al-Fatihah.

HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor


Pengarang :