GLOBAL

Qatar janji buat pelaburan RM61.5 bilion di Turki

ANKARA 17 OGOS: Qatar kelmarin berjanji untuk membuat pelaburan terus sebanyak AS$15 bilion (RM61.5 bilion) di Turki yang terjejas teruk akibat krisis mata wang di tengah-tengah kebuntuan diplomatik yang semakin meruncing dengan Amerika Syarikat (AS), kata beberapa pegawai.

“Qatar telah menjanjikan pelaburan terus sebanyak AS$15 bilion di Turki,” kata jurucakap Presiden, Ibrahim Kalin di laman Twitter.

 

“Hubungan Turki-Qatar adalah berdasarkan asas kukuh perpaduan dan persahabatan sejati,” katanya.

Pengumuman itu dibuat selepas Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani mengadakan rundingan makan tengah hari dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Mata wang lira jatuh teruk dan sehingga semalam didagangkan pada 5.7 lira berbanding satu dolar. Mata wang itu mencatat kedudukan terendah 7.24 minggu lalu.

“Erdogan berterima kasih kepada Emir dan rakyat Qatar kerana menyokong Turki,” lapor agensi berita rasmi Anadolu.

Katanya, hubungan dengan Qatar yang digambarkan sebagai ‘negara mesra dan bersaudara’ akan dirangsang dalam pelbagai bidang.

Menteri Kewangan Turki, Berat Albayrak iaitu menantu Erdogan dan rakan sejawatnya dari Qatar, Ali Sharif Al-Emadi turut hadir dalam rundingan di ibu negara, Ankara itu.

Turki kebelakangan ini telah dikejutkan dengan penurunan mendadak nilai lira selepas Presiden AS, Donald Trump memuat naik tweet di laman Twitter pada Jumaat lalu bahawa Washington akan menggandakan tarif aluminium dan keluli untuk Ankara.

Tindakan Washington itu dibuat ketika pertikaian ke atas Turki yang masih menahan paderi dari AS selama dua tahun.

Sebagai tindak balas, Erdogan telah menggesa rakyatnya memboikot barangan elektrik AS, manakala Ankara juga menaikkan tarif terhadap beberapa barangan dari negara itu.

SUMBER: AFP


Pengarang :