SASTERA

Rahsia Bilik

Oleh Arif Zulkifli

Lampu: Sudah lama berkawan dengan siling. Pada awal kenalannya bersama ruang atas bilik ini, cuma ada mereka berdua. Namun, semakin waktu merangkak pergi, mereka tidak lagi berdua. Kini ditemani labah-labah, dan anak-anaknya, dan bangkai-bangkai serangga lain yang menjadi perhiasan — atau trofi. Lampu bersinar terang malam ini, memenuhi sepelusuk ruang bilik. Membunuh segala kegelapan — kecuali bayang-bayang kerana bayang-bayang ialah kawan karib cahaya. Bilik terang, menampakkan almari kayu besar berwarna hitam, katil dengan cadar yang tegang rapi dan sebiji bantal, kerusi malas dengan beberapa tali getahnya yang terkulai lalu — terputus dimamah waktu, kipas yang berputar laju, empat dinding yang saling berhadapan, lantai yang sentiasa muram — dan cemburu pada siling di atas, dan pintu kayu.

Di tengah ruang bilik ini terdapat dua susuk. Seorang pemuda dalam lingkungan lewat 20-an, seorang lagi remaja belasan tahun — kedua-duanya lelaki. Mereka duduk berhadapan, dengan senaskhah al-quran menjadi sempadan pemisah.

Lampu sentiasa menjadi mata yang melihat di dalam bilik ini.

Pintu: Masih berdiri dengan sasa — menjadi pengawal bilik ini. Sesiapa yang menghampiri bakal dia usir dengan papan tanda: Dilarang Masuk Tanpa Kebenaran. Sejak lewat petang tadi lagi dia sudah mengetahui bilik ini bakal dihuni dua orang. Dia terdengar daripada pintu bilik sebelah yang terdengar daripada pintu bilik sebelah yang terdengar daripada pintu bilik sebelah yang terdengar daripada pintu bilik sebelah yang terdengar perbualan dua orang ini di kaki lima.

“Bagaimana dengan hafalan juz 29 kamu? Sudah selesai?”

“Dah ustaz.”

“Bagus. Malam ini datang ke bilik saya untuk tasmik.”

Dan demi Tuhan, pintu yang sana memberitahu pintu yang sini, muka si remaja berubah sekelip mata. Pintu yang sana ternampak remaja ini menelan liur beberapa kali. Ketakutan menyelaputi segenap ruang wajahnya. Dan malam ini, pintu yang sini memberi kebenaran mereka berdua masuk kerana sang ustaz adalah pemegang kunci pintu bilik.

Dan pintu sentiasa menjadi pengawal yang mengawal bilik ini.

Dinding: Datangnya sentiasa berpasangan. Dua pasang yang saling berhadapan, berdiri bahu-ke-bahu, menghijabi dua orang ini daripada pandangan orang-orang di luar. Malam ini, mereka menjadi saksi akan merdu suara remaja ini melantunkan kalam suci Tuhan, mengikut tajwid dan lenggok yang betul. Suaranya melantun melanggari mereka, lalu mereka dakap suara budak polos ini sebelum melontarkan semula suaranya ke seluruh bilik. Sesekali ustaz muda memperbetulkan bacaan mana yang salah. Sebatang rotan duduk diam di tepi pahanya. Ustaz muda belum mahu menggunakannya lagi. Mungkin takkan digunakan pun. Kehadiran rotan mungkin cuma mahu membuatkan remaja ini tasmik dengan serius.

Sadaqallahulazim, dan ustaz muda pun bangun sambil meregang-regangkan tubuh badannya. Fizikal ustaz ini, menurut dua pasang dinding, sedang elok. Tidak terlalu sasa dan tidaklah terlalu boroi. Malam ini, ustaz muda mengenakan baju Melayu cekak musang berwarna hitam, sehitam langit di luar. Remaja ini pula menyarungkan baju melayu putih, yang nampak besar dan tak padan sungguh dengan tubuhnya yang kurus meleding.

Empat muka dinding melihat ustaz muda bergerak ke arah kerusi malas dan duduk di atasnya. Kiat-kiut berlantunan. Si remaja pula menutup naskhah suci al-Quran dan mendakapnya — bersedia untuk beredar. Pintu pun sudah bersedia mahu memberi laluan kepada remaja ini.

“Nanti dulu,” suara ustaz muda mematikan langkah. Dinding saling berpandangan.

“Ke mari.”

Dan dinding sentiasa menjadi penghijab yang menghijabi dua orang ini daripada mata-mata di luar.

Kerusi: Terasa dirinya terbeban dengan berat ustaz muda ini. Ustaz ini tidaklah gemuk sehingga kerusi boleh rasa terbeban sebegini. Entahlah, mungkin ustaz muda ini berat dengan hal lain.

“Ke mari.”

Kerusi tak dapat melihat apa-apa melainkan hitam, memandangkan badan ustaz muda sudah pun menghadang pandangannya. Namun, dia dapat dengar bunyi tapak kaki remaja itu semakin menghampiri.

Ustaz muda tergerak-gerak di atas kerusi, menghenyak. Muka kerusi tidak lagi disapa licinnya kain seluar baju Melayu ustaz muda. Terlorot sudah seluar, dan kulit menyapa. Cuma kulit.

Dan kerusi menjadi pendengar yang mendengar bunyi tercekik-cekik, terbatuk-batuk si remaja, dan bunyi tererang-erang ustaz muda.

Bantal: Basah lencun dengan air mata si remaja. Puas dipeluk, dipujuk dengan empuk bantal namun tangisan itu sentiasa ada. Sungguh bantal dapat rasai kesakitan dalam setiap tujahan. Aduh sakit, menjadi zikir remaja malam ini. Dan jeritan batin si remaja tak terluah, melainkan hanya disenyapkan oleh gebu bantal.

Dan bantal menjadi pemujuk yang mengelap kering tangisan si remaja.

Kipas: Berputar laju, menyemarakkan lagi api nafsu di dalam diri ustaz muda, memperbesar api kemarahan dan dendam di dalam diri si remaja.

Dan kipas sentisa berputar laju, tanpa mempedulikan dua susuk itu.

Lantai: Jijik dengan desahan dan erangan ustaz muda. Sungguh jika dia ada kaki, lama sudah dia berdiri dan beredar dari situ. Seluar dan baju ustaz muda bergelimpangan, basah dengan peluh dan mani. Jijik. Ustaz muda menyarung semula baju Melayunya. Sambil dia menyarungkan seluar, dia menjeling ke arah si remaja.

“Jangan beritahu sesiapa tentang malam ini. Yang tahu cuma aku, kau dan bilik ini.” Tuhan juga tahu, binatang! Moga Tuhan laknat engkau! jerit lantai.

“Kalau kau bocor mulut, mereka takkan percaya, kerana aku ustaz yang alim dan kau hanya pelajar biasa. Kau tentu tak mahu ibu bapa kau malu bukan? Jadi kunci mulut tu!”

Setiap satu langkah ustaz muda di atas muka lantai, setiap satu itu juga lantai meludah sambil menjerit Binatang!

Pintu dibuka separuh, sebelum ustaz muda memandang semula ke arah si remaja.

“Esok tasmik juz 28 pula.”

Lampu, pintu, dinding, kerusi, bantal, kipas dan lantai: Mendakap erat si remaja yang teresak-esak di satu sudut bilik penuh rahsia ini.


Pengarang :