PBTSELANGOR

Restoran 24 jam gagal bersih premis berdepan tindakan

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 1 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mengambil tindakan penguat kuasaan kepada restoran beroperasi 24 jam yang gagal membersihkan premis dari jam 1 hingga 3 pagi, bermula hari ini.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, MBPJ memandang serius perkara itu, namun menegaskan premis yang bersih dan kemas tidak perlu khuatir.

Katanya, MBPJ melakukan pemantauan dan pemeriksaan sejak 1 Julai lalu, namun tidak mengambil tindakan.

“Pada waktu itu, pegawai penguat kuasaan kesihatan akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan, namun tiada tindakan diambil.

“Bagaimanapun, mulai 1 Ogos (hari ini) MBPJ akan mula mengambil tindakan dan jika gagal berbuat demikian, lesen operasi premis berisiko untuk dibatalkan,” katanya.

Mohd Azizi berkata, MBPJ komited menjalankan pemeriksaan dan penguat kuasaan terhadap restoran di Petaling Jaya, malah tugas pemeriksaan menjadi rutin harian.

Pada masa sama, katanya, semua pihak perlu bekerjasama memastikan pematuhan berjalan lancar dan peningkatan kes keracunan makanan dapat disifarkan.

Terdahulu, bagi memastikan semua premis makanan mematuhi tahap kebersihan ditetapkan, MBPJ mahu semua pengusaha restoran 24 jam membuat kerja pembersihan, mulai 1 Julai.

Sebanyak 98 premis makanan terbabit dan sejak 2017 hingga Mac 2018, sebanyak 2,096 pemeriksaan premis makanan diperiksa MBPJ.

Daripada jumlah itu, 76 premis makanan tidak bersih dan tidak berlesen ditutup di bawah Undang-undang Kecil Establishment Makanan (MBPJ) 2007.


Pengarang :