EKONOMI

Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 1 OGOS: Ringgit beralih daripada aliran penurunannya apabila dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal hari ini dengan sentimen dipacu oleh peningkatan semula harga minyak.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada paras 4.0610/0650 berbanding dolar AS daripada 4.0630/0670 yang dicatat pada Selasa.

Ketua Dagangan Asia-Pasifik Oanda, Stephen Innes, berkata ini juga sejajar dengan pertikaian dagangan Amerika Syarikat-China yang kini reda dan turut memulihkan sentimen risiko terhadap ringgit.

“Bagaimanapun, senario yang menghampiri mesyuarat dasar Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (FOMC) selama dua hari, akan menyaksikan dolar AS terus bertahan.

“Selain mesyuarat itu, kalangan pedagang turut berharap kepada data penggajian yang akan terus memberi sokongan kepada dolar AS dan sebaliknya mengehadkan kenaikan ringgit,” katanya.

Berbanding mata wang lainnya, ringgit turut diniagakan tinggi.

Ia naik berbanding yen Jepun kepada 3.6314/6356 daripada 3.6433/6472 pada Selasa dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9814/9848 daripada 2.9829/9860.

Ringgit juga naik berbanding pound Britain kepada 5.3264/3333 daripada 5.3453/3522 dan tinggi berbanding euro kepada 4.7469/7528 daripada 4.7626/7682.

– BERNAMA

 


Pengarang :