PBTSELANGOR

Sambut Hari Kemerdekaan dengan fesyen Jalur Gemilang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 26 OGOS: Kemeriahan Karnival Kemerdekaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kali ini semakin dirasai apabila peserta mengenakan fesyen pakaian dengan bertemakan bendera Jalur Gemilang.

Salah seorang daripadanya, Singam Muniandy, 41 turut memakai baju yang dibuat khas daripada bendera Malaysia bersama isterinya, Umah Devi, 39.

Katanya, dia menempah pakaian tersebut dengan kos RM500 dan kemudiannya dipakai ketika acara melibatkan sambutan kemerdekaan.

“Tujuan saya memakai pakaian ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk kepada orang, sebaliknya saya dan isteri rasa lebih bersemangat untuk menyambut ulangtahun kemerdekaan Malaysia kali ke 61.

“Sebagai anak Malaysia, saya bangga dilahirkan di negara ini, ini adalah negara yang makmur dan oleh itu kita perlu sentiasa melahirkan rasa syukur,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Singam juga turut memenangi Johan Kategori Pakaian Beragam Lelaki pada acara tersebut dan membawa pulang wang tunai RM170.

Tidak ketinggalan Sharifuddin Yaakup, 36 turut memeriahkan suasana apabila memakai pakaian dari bendera Jalur Gemilang bersama isterinya, Hasliza Abdul Hamid, 34 serta dua anaknya yang berusia setahun serta dua bulan.

Sharifuddin berkata, ia adalah kali pertama beliau sekeluarga memakai pakaian dengan tema bendera Malaysia.

“Baju ini dijahit oleh ibu saya, saya menyertai acara ini kerana mahu anak-anak belajar erti betapa berharganya nilai merdeka pada negara.

“Selepas ini kami akan sertai lebih banyak acara merdeka dan saya berharap pada masa depan lebih ramai yang akan melakukan perkara ini bersama keluarga mereka, pada saya ini adalah aktiviti yang sihat bersama keluarga tersayang,” katanya.

Memenangi Johan Kategori Pakaian Beragam Wanita, Roslina Mariam Zainal memberitahu, beliau mereka cipta sendiri pakaian yang dimenanginya.

Katanya, dia telahpun mencipta lima jenis fesyen pakaian dengan menggunakan Jalur Gemilang untuk tahun ini.

“Bukan sahaja baju, saya turut mencipta sendiri beg tangan dan tudung yang saya pakai ini, kemudiannya ia akan dihantar kepada tukang jahit untuk disiapkan.

“Acara sebegini sememangnya memberi kepuasan kepada saya, sebelum ini saya turut menyertai acara kemerdekaan yang dianjurkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

 


Pengarang :