PBTSELANGOR

Sambutan Hari Kebangsaan MBPJ meriah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 21 OGOS: Lebih 1,000 pengunjung termasuk kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memenuhi Perkarangan Ibu Pejabat MBPJ, di sini, pagi ini, bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan itu.

Bertepatan dengan tema Sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu ‘Sayangi Malaysiaku’, program itu antara usaha MBPJ ke arah mewujudkan masyarakat saling memahami dan hormat menghormati bagi menjamin kestabilan masa depan negara.

Dato’ Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, ia penting bukan sahaja dalam kalangan warga kerja MBPJ, bahkan rakyat Malaysia amnya.

“Tema ‘Sayangi Malaysiaku’ seperti diumumkan Perdana Menteri dilihat menepati usaha kerajaan yang mahu memberi tumpuan khusus kepada rakyat Malaysia bahawa bukan mudah mencapai kemerdekaan.

“Justeru, sebagai anggota perkhidmatan awam dan rakyat Selangor, kita harus bersyukur dengan nikmat kebebasan dikecapi buat masa ini kerana kemakmuran serta kemajuan negeri ini adalah hasil daripada pengorbanan bapa, ibu juga anggota keselamatan yang mempertahankan kedaulatan negara,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan ke-61 MBPJ, di sini.

Sehubungan itu, Azizi berkata, beberapa program dilaksana pihaknya dengan hasrat mempamerkan semangat kemerdekaan terutama di kawasan pentadbiran terbabit.

“Beberapa program tambahan diadakan antaranya ‘Sayembara Nyanyian Patriotik Selangor’ (SNPS) dengan kerjasama Kerajaan Negeri. Saringan program SNPS dijalankan pada 18 dan 19 Ogos lalu, manakala 12 peserta terpilih bakal ke pentas akhir, pada 22 September ini.

“Selain itu, pertandingan keceriaan komuniti diadakan melalui penubuhan jawatankuasa khas yang bertanggungjawab memilih empat Kawasan Rukun Tetangga terbaik dengan mempamerkan semangat kebangsaan,” katanya.

Terdahulu, Azizi turut menyerahkan jalur gemilang kepada Ahli Majlis dan Ketua Jabatan serta menyampaikan hadiah bagi Pertandingan Keceriaan Merdeka.

Pada masa sama, beliau juga mengagihkan 4,000 tiket bola sepak Piala Sultan Selangor 2018 kepda semua kakitangan dan pengunjung yang hadir.


Pengarang :