SELANGOR

Sasaran Art ubah kampung nelayan jadi kampung seni

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 17 OGOS : Usaha sekumpulan pecinta seni di sebuah perkampungan nelayan di sini berbaloi apabila akhirnya kampung itu bertukar menjadi ‘kampung seni’ yang dikenali hingga ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi Persatuan Sasaran Arts, Ng Bee berkata, beliau bersyukur apabila ada pihak yang percaya dengan usaha kumpulannya menjadikan Kampung Sasaran sebagai perkampungan seni di Malaysia.

Katanya, Sasaran Art kini juga sudah mempunyai galeri sendiri bagi membolehkan penggiat seni mempamerkan hasil kerja masing-masing.

“Saya yakin, melalui seni, hidup kita akan lebih indah dan lebih ‘hidup’, marilah bekerjasama bagi mewujudkan kehidupan masa depan yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Sasaran Art, Chua Chee Chor berkata, Sasaran Art menjadi tumpuan penggiat seni antarabangsa sejak 2008 melalui Festival Seni Antarabangsa di situ.

Katanya, acara terbabit berjaya menarik peserta dari China, Vietnam, Thailand, Filipina dan Australia bermula 2008 hingga tahun lalu.

“Peserta akan tinggal selama 10 hingga 12 hari untuk menghasilkan arca seni masing-masing, lebih menarik mereka menggunakan bahan terbuang dan berjaya membentuk arca yang cukup indah.

“Jika orang ramai datang ke Galeri Sasaran Art sekarang, mereka boleh lihat dan bergambar dengan pelbagai arca menarik,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui ketika lawatan media tempatan dan wakil pengaruh media sosial bersama Tourism Selangor dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) di Galeri Sasaran Art.

Sasaran Art memaklumkan pihaknya berbesar hati menerima karya anak tempatan yang mahu mempamerkan kerja mereka di galeri tersebut.


Pengarang :