SELANGOR

“Saya hanya orang kecil tak berharta, bukan macam Lokman” – Zawawi

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 3 OGOS: Calon KEADILAN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Mughni menegaskan beliau memegang teguh prinsip menolak rasuah dan politik wang.

Mohd Zawawi berkata, beliau bukanlah seperti calon Barisan Nasional (BN), Lokman Adam yang dilihat mempunyai kedudukan dan sumber kewangan besar.

“Saya bukan macam dia. Saya adalah orang kecil yang tak banyak harta dan saya berpegang pada prinsip bahawa kami menentang rasuah, politik wang dan apa jua yang sewaktu dengannya.

“Kalau dia menuduh begitu pastikan tuduhan itu bukan cerita kosong yang dilemparkan untuk meraih sokongan, buktikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tuduhan Lokman kononnya beliau akan menabur wang bagi membeli undi pada sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN PRK DUN Sungai Kandis di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, beliau mengalu-alukan sekiranya Lokman mahu membuat laporan kepada mana-mana pihak bertanggungjawab.

Katanya, pihak beliau sentiasa terbuka berikutan tiada apa yang mahu disembunyikan daripada pengetahuan umum.


Pengarang :