NASIONAL

‘Sayangi Malaysiaku’ identiti perpaduan negara

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Buat pertama kali, kontinjen Sayangi Malaysiaku yang melibatkan 800 peserta mengambil bahagian dalam Sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya.

Memaparkan komuniti mewakili pelbagai peringkat umur, kaum dan budaya, ia menggambarkan identiti Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa, hidup dalam kepelbagaian, harmoni serta bersatu padu.

Persembahan Khas Sayangi Malaysiaku pula melibatkan 600 peserta dan digarap Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya.

Turut mengambil bahagian, Kontinjen Perkhidmatan awam seramai 900 pegawai kerajaan mewakili 25 kementerian dan enam jabatan kerajaan.

Diketuai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Mohtar Mohd Abdul Rahman, beliau turut disokong 31 pegawai kanan dengan motto ‘Perkhidmatan Awam Sayangi Malaysiaku’.

Tidak ketinggalan, Kontinjen GLC dan Sektor Awam yang diselaraskan oleh Khazanah Malaysia dengan penyertaan 800 peserta daripada 37 buah syarikat pelaburan dari pelbagai sektor dan industri utama.

Di samping itu, bahagian Ketenteraman Awam diselaraskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kekuatan sebanyak 2,610 orang yang terdiri daripada 10 agensi penguatkuasaan.


Pengarang :