PBTSELANGOR

Sayembara 2018 kembali, didik semangat patriotik

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 3 OGOS: Sayembara Nyanyian Patriotik Selangor (SNPS) 2018 kembali dengan menawarkan hadiah keseluruhan RM10,450 kepada pemenang mengikut kategori masing-masing.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, program itu bertujuan menggalakkan masyarakat khususnya belia untuk berkongsi semangat kebangsaan menerusi nyanyian.

Katanya, SNPS adalah salah satu program kesenian yang bakal mengangkat Kota Seni Petaling Jaya dengan lebih gemilang.

“Dengan wujudnya aktiviti sebegini, ia mampu melahirkan generasi yang mempunyai semangat kebangsaan tinggi dan pada masa sama, dapat mengisi masa lapang membanteras musuh nombor satu negara, iaitu najis dadah.

“Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menjadi tuan rumah sejajar matlamat Kerajaan Negeri, iaitu Petaling Jaya adalah salah satu lokasi Kota Seni di Selangor,” katanya pada sidang media SNPS 2018, di Ibu Pejabat MBPJ, di sini, semalam.

Program itu dianjurkan Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan dengan kerjasama MBPJ dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor.

SNPS 2018 terbahagi kepada tiga kategori iaitu bawah 12 tahun, bawah 18 tahun dan 19 tahun ke atas (terbuka) sama ada secara solo, duet atau berkumpulan.

Mereka yang berminat boleh mendaftar secara percuma dengan mendapatkan borang menerusi Facebook MBPJ, Facebook Pemadam Selangor atau Whatsapp 0166806489.

Peserta yang mendaftar akan menerima e-mel pengesahan ujian saringan, pada 18 dan 19 Ogos ini bermula jam 8 pagi, di Kompleks Arena Petaling Jaya (Pusat Rakan Muda).

Ujian saringan itu akan diadili tiga juri profesional, iaitu penyanyi dan komposer Korie Aminuddin, pengurus artis Jojie Aminuddin dan guru vokal Sarah Ismail.

Empat peserta terbaik daripada setiap kategori akan melangkah ke peringkat akhir, pada 22 September ini bermula jam 8.30 malam, di Dewan Sivik MBPJ.

Sebanyak 20 lagu akan dipertandingkan antaranya Warna Warni Malaysiaku (Dato’ Siti Nurhaliza); Anak Merdeka (Ella & The Boys); Warisan (Sudirman); Legenda (Dato’ Sheila Majid) dan Malaysia (Faizal Tahir).

Hadiah bagi kategori bawah 12 tahun, Johan bakal membawa pulang RM1,000; tempat kedua (RM700); tempat ketiga (RM400) dan keempat (RM150).

Manakala, kategori bawah 18 tahun johan (RM1,500), kedua (RM1,000), ketiga (RM500) dan keempat (RM200).

Sementara itu, kategori 19 tahun ke atas johan bakal membawa pulang RM2,500; tempat kedua (RM1,500); ketiga (RM700) dan keempat (RM300).


Pengarang :