NASIONAL

“Sejahtera Malaysia” didendang warga Malaysia dari 25 bandar raya seluruh dunia

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sekumpulan warga Malaysia dari 25 bandar raya di seluruh dunia membuat persembahan video selama lima minit menyanyikan lagi patriotik “Sejahtera Malaysia” bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-61.

Pengurus Projek Hari Malaysia, Yap Lu Ying, 29 berkata, video itu dirakam pada pertengah bulan Mei, kurang seminggu selepas kumpulan berkenaan ditubuhkan pada 13 Mei tahun ini.

Lu Ying berkata, setiap peserta dalam projek itu bermula daripada pengeluaran kepada kumpulan muzik adalah sukarelawan Malaysia pelbagai kaum termasuk kanak-kanak berusia lima tahun dan dewasa sehingga 60 tahun.

“Susunan rentak itu dibuat oleh Komposer terkenal, Isaac Chong yang pernah memenangi anugerah di Hong Kong manakala penulis lagu Charis Chua (Taiwan) dan Lance Low (Jerman) yang turut menyumbang daripada segi lagu sokongan seperti bermain piano, seruling dan trombone.

“Dengan pembabitan peserta dari seluruh negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, New Zealand, Eropah dan Timur Tengah, ia mengambil masa tiga bulan untuk mengumpulkan peserta video terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Koordinator Penyelidikan, Ong Xin Yi, 32, berkata, beliau amat berbangga apabila ramai sudi meluangkan masa, usaha dan dana mereka ke dalam projek itu termasuk menyewa studio profesional dan mengendali rentas negara dalam keadaan cuaca kurang baik serta berusaha membeli Jalur Gemilang di kedai khusus.

Xin Yi berkata, bahkan paling menggembirakan apabial setiap peserta memberi komitmen yang amat baik dengan memakai pakaian tradisional seperti baju kurung, cheongsam, dan pakaian tradisional Malaysia Timur semasa penggambaran persembahan berlangsung.

Katanya, video terakhir disunting oleh pasukan pengeluaran yang bekerja secara dalam talian dari Amerika Syarikat, Thailand dan Singapura di mana mereka menghabiskan banyak masa mendengar serta menyusun setiap video diterima dari setiap penjuru dunia itu.

Mengulas mengenai cabaran dihadapi, Xin Yi berkata, ‘post-production’ amat mencabar kerana rakaman berbeza dalam format dan kualiti fail namun pasukan itu bekerja dengan gigih bagi menghasilkan sebuah video yang terbaik.

“Projek ini bermula sebagai suatu yang tidak formal dan berskala kecil. Kebanyakan peserta adalah orang asing namun menerusi projek ini kita berjaya membawa mereka untuk bersama mengenali antara satu sama lain dan bersahabat walaupun berbeza budaya serta agama,” katanya.


Pengarang :