NASIONAL

Sekolah lama di Petaling Jaya perlukan dana penyelenggaraan

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 7 OGOS: Hampir kesemua sekolah lama di Petaling Jaya memerlukan peruntukan bagi kerja naiktaraf, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Katanya, kebanyakan sekolah tersebut adalah sekolah yang telah dibina beberapa dekad lalu.

“Sekolah ini memerlukan pembaikpulihan semula struktur kerana binaannya yang sudah lama, malah ada diantara sekolah lama ini tidak mempunyai bekalan air di bahagian tingkat paling atas kerana tekanan air yang rendah.

“Turut difahamkan, pihak sekolah juga memerlukan peruntukan untuk pembaikan pada bumbung, pendawaian, lantai dan tandas.

“Keutamaan perlu diberikan kepada sekolah lebih tua. Pelajar memerlukan persekitaran kondusif untuk belajar dan saya akan menyokongnya sekiranya Kementerian Pendidikan memperuntukkan dana kepada sekolah-sekolah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Petaling di Seksyen 12 sekaligus melancarkan program gotong royong bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R.Rajiv, di sini.

Maria berkata, beliau turut menerima maklumat ada diantara sekolah yang tidak menerima peruntukan tahunan sewajarnya.

Katanya, mengikut maklumat daripada wakil sekolah, ada diantaranya dianugerahkan Sekolah Berprestasi Tinggi.

“Sekolah berusia 49 tahun itu sepatutnya menerima kira-kira RM1.2 juta untuk tempoh tiga tahun. Walau bagaimanapun dipercayai dana diterima tidak cukup.

“Saya akan mengumpulkan semua maklumat ini dan menghantarnya kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik,” katanya.


Pengarang :