BERITA UTAMASELANGOR

Selangor cadang KPKT beri insentif kepada pemaju penyelamat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dicadangkan supaya memberikan insentif kepada pemaju penyelamat yang bersedia menyelesaikan pembangunan projek terbengkalai.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, kebanyakan projek terbengkalai yang berlaku khususnya di Selangor menyaksikan pemaju awal sudah memperoleh keuntungan, namun mengambil tindakan meninggalkan projek sedia ada, termasuk pembinaan rumah kos rendah.

“Saya meminta kementerian memberikan insentif kepada pemaju penyelamat supaya menyiapkan projek terbengkalai dan tidak menanggung kerugian.

“Ini kerana ada projek terbengkalai yang sudah siap 90 peratus, justeru dengan pemberian instentif ini, ia dapat menggalakkan pemaju penyelamat tampil menyiapkan projek.

“Harus diingat, projek terbengkalai yang berjaya disiapkan dapat memberikan tambahan unit kepada pasaran, sekali gus membolehkan orang ramai memiliki rumah,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, sebanyak 106 projek terbengkalai direkodkan di Selangor membabitkan perumahan, komersial, industri dan pembesaran kampung.

Haniza berkata, 91 daripada jumlah itu membabitkan projek perumahan, sehingga April lalu.

“Punca kuasa ada pada KPKT, kita (Kerajaan Negeri) sebagai pemudahcara. Undang-undang yang tegas diperlukan bagi mengelakkan projek terbengkalai berleluasa,” katanya.


Pengarang :